Angka kematian akibat Siklon Freddy di Malawi meningkat
BLANTYRE (Malawi) - Angka kematian akibat Siklon Freddy di Malawi telah meningkat kepada 1,000 manakala lebih setengah juta orang hilang tempat tinggal, kata Presiden Lazarus Chakwera pada Rabu.
"Bencana alam yang dahsyat ini telah mengorbankan lebih 1,000 orang, manakala lebih setengah juta hilang tempat tinggal, serta lebih dua juta penduduk terjejas teruk," kata Chakwera.
Chakwera berkata, keadaan ekonomi di Malawi turut terjejas akibat bencana itu, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Beliau merayu agar rakyatnya bekerjasama memulihkan kesan bencana yang telah merosakkan 405 kilometer (252 batu) infrastruktur jalan raya, 63 kemudahan kesihatan, dan 500 sekolah.
Freddy membadai Mozambique dan Malawi pada awal Mac untuk kali kedua dalam tempoh sebulan, memusnahkan kediaman dan mencetuskan banjir besar.
Sebanyak 76 kematian direkodkan di negara jiran Mozambique, manakala lebih 33,000 rumah musnah. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!