Dua tahanan Indonesia lolos direman 4 hari

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KULAI - Dua tahanan warga Indonesia yang melarikan diri ketika dalam perjalanan menuju ke Penjara Satelit Ledang pada pagi Selasa dan berjaya diberkas semula, direman selama empat hari.

Tahanan pertama, Riki Rinaldi, 40, direman bermula Rabu hingga Sabtu selepas mendapat kebenaran daripada Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, tahanan kedua, Haji Samirudin, 36, direman bermula Khamis hingga Ahad.

"Perintah reman terhadap Haji Samirudin dikeluarkan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi pada pagi tadi selepas membenarkan permohonan polis bagi menjalankan siasatan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada Selasa, kedua-dua tahanan itu membuka gari berantai dan pintu belakang van sebelum lari ke dalam kebun kelapa sawit terbiar Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang berhampiran jambatan kereta api.

Sebelum itu, suspek bersama dua lagi tahanan warga Indonesia dibawa ke Mahkamah Kota Tinggi pada jam 8 pagi Selasa, bagi pertuduhan tidak mempunyai pas dan dokumen yang sah masuk ke negara ini.

Riki Rinaldi ditemukan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai pada jam 9 malam Selasa hasil maklumat daripada orang awam, sementara Haji Samirudin ditemui jam 10.40 pagi Rabu di ladang berhampiran tempat kejadian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!