Covid-19: Kemasukan ke hospital meningkat mulai bulan ini

Dr Zaliha - Foto Bernama
Dr Zaliha - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital menunjukkan trend peningkatan mulai awal bulan ini.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, ia menyaksikan peningkatan sebanyak 17.6 peratus berbanding Mac.

Namun katanya, trend ini tidak membebankan perkhidmatan kesihatan dan hospital masih beroperasi seperti biasa.

"Majoriti pesakit yang dimasukkan ke hospital adalah golongan berisiko tinggi seperti warga emas serta individu dengan komorbid.

"Bagaimanapun kebanyakan kes bergejala ringan, stabil dan situasi Covid-19 kekal tidak membimbangkan," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Jelas Dr Zaliha, pada tahun 2023 sehingga 11 April, kematian akibat Covid-19 yang dilaporkan hanya 0.3 peratus berbanding gelombang Delta dengan CFR yang tinggi iaitu sebanyak 2.1 peratus.

Beliau berkata, sebanyak 63.8 peratus melibatkan pesakit berumur 60 tahun dan ke atas, manakala 90.7 peratus lagi adalah dalam kalangan individu dengan komorbid.

"Kematian pesakit yang tidak pernah divaksinasi adalah enam kali lebih tinggi berbanding pesakit yang mendapat satu dos penggalak," katanya.

Dr Zaliha berkata, dalam kesibukan membuat persediaan musim perayaan yang akan tiba, masyarakat digalakkan untuk memakai pelitup muka apabila hadir ke tempat awam yang sesak dan sempit yang mana penjarakan fizikal sukar diamalkan seperti di bazar Ramadan dan ketika sambutan hari raya.

"KKM akan terus memantau situasi Covid-19 serta varian yang terdapat di dalam dan luar negara selain memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan yang optimum bagi memastikan kesejahteraan rakyat untuk hidup bersama virus Covid-19," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!