World #QuranHour 2023 capai hampir 1.2 bilion tanda pagar

Program World #QuranHour 22 Ramadan 1444H/ 13 April 2023 di Lokasi Perdana, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM, Gombak pada Khamis. - FOTO MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH, gambar kecil: Marhaini
Program World #QuranHour 22 Ramadan 1444H/ 13 April 2023 di Lokasi Perdana, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM, Gombak pada Khamis. - FOTO MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH, gambar kecil: Marhaini
A
A
A

GOMBAK - World #QuranHour edisi kelapan yang berlangsung serentak di seluruh dunia pada Khamis berjaya mencapai hampir 1.2 bilion tanda pagar (hashtag).

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, meskipun tidak mencapai sasaran awal iaitu 1.6 bilion, namun pihaknya tetap berpus hati dengan pencapaian pada tahun ini.

Jelasnya, paling membanggakan jumlah lokasi di seluruh Malaysia yang mengambil bahagian dalam acara ini adalah sebanyak 5,480.

Selain itu katanya, sebanyak 25 negara lain turut mengambil bahagian pada tahun ini antaranya Thailand, Arab Saudi, Jepun dan Amerika Syarikat.

"Alhamdulillah, kita lihat negeri-negeri juga semakin banyak menyertai program ini dan inilah sebenarnya yang kita harapkan.

"Kita mahu kempen gerakan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini menjadi budaya dalam kalangan umat Islam terutamanya di Malaysia," katanya ketika sidang akhbar selepas selesai Program World #QuranHour 2023 yang berlangsung di lokasi perdana, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Marhaini berkata, selepas tiga tahun menyepi susulan pandemik Covid-19, acara penuh bermanfaat ini kembali ke UIAM yang mana sekali lagi dipilih sebagai lokasi perdana untuk World #QuranHour.

World #QuranHour tahun ini mengangkat tema 'Memanusiakan Ummah' melalui agenda memanusiakan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

World #QuranHour tahun ini diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim); UIAM; Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM); Wardah dan beberapa pihak lain lagi.

Antara rakan sinergi media yang bergabung bagi menjayakan program ini adalah Sinar Harian, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Astro Oasis, Astro Awani, RTM, Utusan TV dan lain-lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!