Nahas Double Six: 'Bapa saya tak harus dipersalah sepenuhnya'

Bangkai pesawat GAF Nomad pada 6 Jun 1976 di Kota Kinabalu, Sabah. - Foto The Golden Son of The Kadazan/ Bernard Sta Maria
Bangkai pesawat GAF Nomad pada 6 Jun 1976 di Kota Kinabalu, Sabah. - Foto The Golden Son of The Kadazan/ Bernard Sta Maria
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat penerbangan yang terlibat dengan nahas pesawat di Sabah pada 1976 seharusnya mempunyai tanggungjawab besar dalam insiden tersebut.

Anak kepada juruterbang pesawat berkenaan, Nizam Gandhi berkata, ayahnya, Gandhi J Nathan tidak seharusnya dipersalahkan sepenuhnya atas tragedi yang meragut Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Fuad Stephens dan 10 individu lain.

“Syarikat penerbangan memegang tanggungjawab lebih besar dalam memastikan muatan pesawat mengikut garis panduan.

“Juruterbang tidak sepenuhnya bertanggungjawab kerana syarikat yang perlu menyediakan kertas muatan sebelum berlepas,” katanya memetik The Star pada Khamis.

Pada Rabu, Kementerian Pengangkutan mendedahkan laporan nahas berlaku pada 6 Jun 1976, susulan persetujuan kerajaan menyahklasifikasi kerahsiaan laporan itu.

Laporan itu turut mengungkapkan bahawa juruterbang pesawat tidak mengikuti standard prosedur operasi yang sewajarnya selain syarikatnya tidak mematuhi langkah pengendaliannya dengan profesional.

Ia juga menambah bahawa Gandhi mempunyai sejarah penerbangan buruk.

Laporan itu disediakan bersama oleh Jabatan Penerbangan Awam, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Australia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!