Penjawat awam jual air ketum di Putrajaya ditahan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Polis menahan seorang penjawat awam tengah malam tadi di Presint 9 di sini kerana disyaki menjual dan mengedar air ketum di sekitar Putrajaya.

Lelaki berumur 38 tahun itu dicekup anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya semasa berada di lobi sebuah apartmen di Presint 9 kerana memiliki dua botol cecair disyaki air ketum.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi hari ini berkata, ketika siasatan awal, lelaki berkenaan mengaku menjual air ketum di kawasan sekitar Putrajaya pada harga RM20 sebotol.

Menurutnya, lelaki berkenaan memperoleh bekalan air ketum daripada seorang lelaki bernama "Roy" di Kampung Labu Lanjut, Sepang, sebanyak 10 botol seminggu dengan harga RM18 sebotol.

A. Asmadi berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan jenayah narkotik dan jenayah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, katanya.- Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!