YBR peruntuk RM100,000 latih 107 guru RBT
KOTA BHARU - Yayasan Bank Rakyat (YBR) melatih 107 guru-guru melalui Kursus Komprehensif Teknik Mudah Melukis bagi Mata Pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) yang melibatkan peruntukan hampir RM100,000.
Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, penganjuran mendapat kerjasama Yayasan Wiba Prima yang dilaksanakan di Kelantan pada Rabu sementara Johor pada Mei ini.
Menurut beliau, kursus memfokuskan pendedahan kepada guru-guru agar mahir melukis dan melakar menggunakan pendekatan Drawzania.
“Kursus kemahiran selama dua hari itu turut bertujuan membantu guru-guru menjadi lebih dinamik dan progresif dalam reka bentuk dan mempertingkatkan lagi daya cipta.
“Kursus Komprehensif Teknik Mudah Melukis Untuk Mata Pelajaran RBT melibatkan dua siri iaitu di Dewan Sri Tanjong, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dan di Pejabat Pendidikan Daerah Tangkak, Johor,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Syaiful Rizal berkata, dianggarkan sebanyak 3,600 pelajar akan mendapat manfaat melalui guru-guru yang mengikuti kursus ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!