World #QuranHour di Pulau Pinang meriah walau bermula lambat
TASEK GELUGOR - Meskipun bermula agak lewat berbanding di lokasi lain, namun penganjuran program World #QuranHour 2023 peringkat Pulau Pinang di Masjid Jamiul Sharif Pokok Machang di sini tetap meriah dengan penyertaan lebih 400 peserta.
Program yang bermula jam 5 petang itu, dimulakan dengan bacaan surah Al-Insan beramai-ramai yang dipimpin oleh Pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun, Abu Bakar Ahmad.
Acara diteruskan dengan Tadabbur Surah Al-Insan oleh Mudir Madrasah Al-Quran Wal Arabiyyah (MAWAR), Ahmad Fahmi Abu Bakar.
Pengerusi Rumah Ngaji Pulau Pinang, Taufek Abd Rahman berkata, kempen World #QuranHour 2023 yang memasuki penganjuran kali ke lima di negeri ini mendapat sambutan menggalakkan termasuk sokongan daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan beberapa pihak lain.
"Program di peringkat negeri kita adakan sedikit lewat berikutan pihak masjid berhasrat untuk mengadakan sekali dengan majlis berbuka puasa untuk semua yang terlibat dengan program ini.
"Bagaimanapun, di 55 Rumah Ngaji di negeri ini serta beberapa lokasi hotspot lain telah berlangsung kempen World #QuranHour 2023 secara serentak bermula 12 tengah hari tadi dengan penyertaan ribuan peserta," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Khamis.
Kempen World #QuranHour 2023 peringkat Pulau Pinang dirasmikan Naib Canselor dan Presiden Universiti Antarabangsa Albukhary, Profesor Emeritus Datuk Dr Abd Aziz Tajuddin.
Hadir sama, Pengerusi Masjid Jamiul Sharif Pokok Machang, Datuk Ahmad Darus.
Dalam majlis itu, kira-kira 30 anak-anak yatim sekitar Tasek Gelugor turut diraikan dengan pemberian duit raya sebelum acara diakhiri dengan majlis berbuka puasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!