Pusat sehenti hasil ladang berkonsep digital

Mazlan (hadapan; enam, kanan) bersama sebahagian warga LPP Negeri Perak.
Mazlan (hadapan; enam, kanan) bersama sebahagian warga LPP Negeri Perak.
A
A
A
IPOH - Pusat pengumpulan hasil ladang atau pusat sehenti (one stop centre) berkonsepkan digital bakal direalisasikan pada penghujung 2019.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mazlan Aliman berkata, pembentangan berhubung pelaksanaannya telah pun dibuat baru-baru ini dan perbincangan lanjut dengan pihak pengurusan atasan agensi-agensi berkaitan akan dibuat selepas ini.

Malah menurutnya, perbincangan dengan pihak Kementerian Wilayah turut dilakukan untuk mengenal pasti lokasi bersesuaian di sekitar Kuala Lumpur termasuk universiti.

"Untuk pusat sehenti ini kita nak tengok lokasi yang sesuai, kemudian saya akan ke Indonesia untuk lihat model yang ada di sana.

"Saya jangkakan sebelum penghujung tahun 2019 kita dapat merealisasikan kewujudan pusat pengumpulan hasil ladang ini dengan konsep digital," katanya.

Mazlan berkata demikian pada sidang media sempena Program Ramah Mesra Pengerusi LPP di Hotel Impiana, petang tadi.

Hadir sama Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak, Datuk Nadzri Ismail dan Mohd Fauzi Badron (Pengarah).

Tambah Mazlan konsep digital itu akan membolehkan pemasaran produk hasil ladang dengan ruang yang lebih luas.

Sebagai contoh katanya, menerusi pusat sehenti ini, pengunjung bukan sahaja akan membeli tetapi akan menyusul untuk pembelian kali kedua.
Artikel Berkaitan:


"Pembelian kali kedua ini mereka (pengguna) tak perlu lagi ke pusat sehenti, kerana dengan konsep digital mereka boleh tempah dan barang atau hasil ladang itu akan sampai ke rumah.

"Perkara ini akan kita bincangkan dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama)," katanya.

Sementara itu Mazlan berharap agar konsep pertanian di bandar perlu dijenamakan semula.

Katanya, konsep berkenaan telah pun diaplikasikan di luar negara, tetapi di negara ini kita dapati hanya lalang yang tumbuh di kebanyakan kawasan perumahan.

"Oleh itu, kita nak pastikan kawasan perumahan bandar boleh gunakan teknologi sekarang seperti teknik fertigasi atau hidroponik.

"Kita dah sebut dengan pihak pengurusan atasan LPP untuk kita teroka perkara ini tahun depan.

"Kita akan teroka supaya kita dapat lihat pertanian di sekolah serta di bandar akan mewarnai sektor pertanian kita," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!