Pasar tani jualan khas Syawal Madani ditambah

Mohamad Sabu. - Foto Bernama
Mohamad Sabu. - Foto Bernama
A
A
A

BATU PAHAT - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bersetuju menambah 10 lagi outlet pasar tani di seluruh negara bagi melaksanakan Jualan Khas Syawal Madani bermula Sabtu ini.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ini sebagai tambahan kepada 103 outlet yang diumumkan sebelum ini susulan permintaan ramai.

Beliau berkata, ia juga dibuat setelah pertemuannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan KPKM memastikan bekalan barangan mencukupi bagi Ramadan dan Syawal ini.

"FAMA juga akan cuba untuk cukupkan barang (keperluan) termasuk ikan, sayur, minyak masak dan barangan utama lain,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan banjir kepada golongan petani dalam kawasan Parlimen Sri Gading di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, kementeriannya dan FAMA juga akan memastikan 30 barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) mencukupi buat pengguna.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA Abdul Rashid Bahri berkata kesemua pasar tani berkenaan memfokuskan kepada jualan barangan keperluan bagi menyambut Aidilfitri.

Ia akan beroperasi selama enam hari hingga 20 April dengan harga barangan yang berpatutan.- Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!