Puji kutipan hasil Pulau Pinang meningkat

Abdul Rahman (dua dari kiri) berbual dengan wakil rakyat selepas merasmikan Sidang DUN tadi.
Abdul Rahman (dua dari kiri) berbual dengan wakil rakyat selepas merasmikan Sidang DUN tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang dipuji kerana Penyata Kewangan Pulau Pinang menunjukkan kutipan hasil bagi tahun lalu mengalami peningkatan sebanyak RM230 juta.

Yang Dipertua Pulau Pinang, Tun Dr Abdul Rahman Abbas berkata, kutipan hasil bagi 2018 berjumlah RM987 juta berbanding 2017 iaitu RM757 juta.

Menurutnya, bagaimanapun perbelanjaan kerajaan negeri bagi tahun lalu lebih tinggi dari 2017 dengan peningkatan sebanyak RM299 juta.

"Perbelanjaan bagi 2018 berjumlah RM1.005 bilion berbanding pada 2017 iaitu hanya RM706 juta. Bagi akhir tahun lalu, berdasarkan kutipan hasil dan perbelanjaan, kedudukan rezab kerajaan negeri berjumlah RM1.074 bilion, berbanding 2017 iaitu RM1.092 bilion.

"Pencapaian rezab terkumpul kerajaan negeri pada akhir tahun lalu menunjukkan kedudukan kewangan kerajaan negeri adalah stabil dan kukuh.

"Pencapaian ini juga membuktikan bahawa dasar lerajaan negeri di dalam pengurusan kewangan berteraskan cekap, akauntabiliti dan telus (CAT) telah terbukti di samping tindakan perbelanjaan secara berhemah dan berprinsipkan 'value for money'," katanya.

Abdul Rahman hadir perasmian sidang DUN di Dewan Sri Pinang tadi.
Abdul Rahman hadir perasmian sidang DUN di Dewan Sri Pinang tadi.

Artikel Berkaitan:

Abdul Rahman berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Sidang DUN ke 14 di Dewan Sri Pinang tadi.

Beliau berkata, bagi pertumbuhan ekonomi global, kerajaan negeri mencatatkan 3.9 peratus bagi tahun lalu manakala unjuran bagi tahun ini hanya 3.3 peratus.

"Bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang kekal berkembang secara positif. Bagi tahun 2018, Pulau Pinang telah mencatatkan pelaburan berjumlah RM5.78 bilion yang mana, pelaburan asing yang diluluskan berjumlah RM3.69 bilion manakala pelaburan domestik berjumlah RM2.09 bilion.

"Sektor pembuatan akan terus kekal sebagai salah satu teras utama. Malah Pulau Pinang terus menerima pelaburan berikutan pada November 2018, Micron, sebuah syarikat Fortune 500, telah mengumumkan pelaburan berjumlah RM1.5 bilion untuk menubuhkan pusat kecemerlangan Solid State Drive (SSD) di Taman Perindustrian Batu Kawan.

"Saya berharap agar kerajaan negeri terus komited dalam mengamalkan tadbir urus yang baik, perbelanjaan berhemat serta ketelusan dalam kaedah perolehan kerajaan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman berharap agar mutu perkhidmatan feri dipertingkatkan terutamanya segi kekerapan.

"Perkhidmatan feri adalah ikonik bagi Pulau Pinang dan kini diuruskan oleh Rapid Ferry Sdn Bhd iaitu Special Purpose Vehicle (SPV) Prasarana.

"Kerajaan negeri menyedari perkhidmatan ini perlu dipertingkatkan terutamanya dari segi kekerapan perkhidmatan ketika waktu puncak tetapi Prasarana menghadapi kekangan kewangan.

"Saya difahamkan, kerajaan negeri merancang untuk mengadakan perbincangan dengan Prasarana dan Kementerian Kewangan bagi menangani masalah ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!