Mampukah kita kurangkan kebergantungan dolar?

Malaysia boleh mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan pergantungan terhadap dolar Amerika secara berperingkat. - Foto 123RF
Malaysia boleh mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan pergantungan terhadap dolar Amerika secara berperingkat. - Foto 123RF
A
A
A

APABILA pemimpin negara menegaskan ‘tiada keperluan untuk terus bergantung kepada dolar Amerika Syarikat (AS)’, ia satu isyarat yang amat besar kepada rakyat dan ekonomi negara.

Isyarat yang dimaksudkan di sini, apakah kita mampu lakukan tanpa bergantung kepada mata wang berkenaan yang dilihat masih kukuh menguasai ekonomi dunia ketika ini.

Namun apa yang cepat terlintas di pemikiran ramai, apakah ia sesuatu yang mudah atau sebaliknya.

Banyak pihak mengetahui sistem kewangan negara masih berpandukan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (FED) dalam menentukan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tempatan.

Sehubungan itu, tanpa berpaksikan FED yang menentukan turun naik OPR global dan pengaruhnya ke atas dolar, apakah kos pinjaman tempatan akan berkurangan atau bebas sepenuhnya daripada pengaruh FED?

Selain daripada itu, apakah tanpa pergantungan dolar, aliran kewangan atau pelaburan negara membabitkan pasaran saham terbuka akan mampu berdaya saing atau sebaliknya?

Ini kerana pasaran saham tempatan amat dipengaruhi oleh aliran pasaran saham dunia contohnya pengaruh indeks Dow Jones dan S&P 500.

Jadi, sebagai sebuah negara yang bergantung pada perdagangan antarabangsa dan pelaburan asing, Malaysia tidak dapat sepenuhnya lari daripada pergantungan kepada dolar Amerika.

Walau bagaimanapun, Malaysia boleh mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan pergantungan terhadap dolar Amerika secara berperingkat dengan memperkuatkan kedudukan ekonomi domestik.

Antaranya meningkatkan perdagangan dalam mata wang tempatan, selain menggunakan urusan mata wang negara yang tidak menggunakan dolar sebagai medium pengantaraan.

Sama ada tanpa pergantungan dolar dapat direalisasikan atau sebaliknya, masih terlalu awal untuk diperkatakan dan ini memerlukan kerjasama serantau jangka panjang.

Beberapa negara telah berusaha untuk membangunkan sistem pembayaran alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada sistem pembayaran global yang didominasi oleh dolar AS.

Namun tidak beberapa berjaya, perubahan tersebut akan mengambil masa yang panjang dan perlukan kesungguhan tinggi dalam berdepan mata wang dunia yang menguasai kewangan global ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!