Sedekah beras 10kg setiap infak RM25

Jalaluddin (tengah) dan kakitangan Bernas meraikan anak-anak yatim dari Rumah Amal Raudhatul Jannah di Iftar ala Madinah @Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.
Jalaluddin (tengah) dan kakitangan Bernas meraikan anak-anak yatim dari Rumah Amal Raudhatul Jannah di Iftar ala Madinah @Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kehadiran duta beras jenama Jasmine yang juga pelakon veteran, Datuk Jalaluddin Hassan memeriahkan lagi suasana jualan beras di program Iftar ala Madinah @Karangkraf.

Pengurus Besar Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas), Farhan Hafetz berkata, Jasmine memperuntukkan sebanyak 500 kampit beras lima kilogram (kg) dengan harga RM5 sahaja.

Bagaimanapun menurutnya, setiap satu keluarga dihadkan pembelian sebanyak satu kampit beras sahaja.

“Ini merupakan salah satu inisiatif syarikat untuk mengurangkan beban sara hidup rakyat terutamanya dengan peningkatan harga barangan dan perkhidmatan.

“Selain itu, pengunjung yang hadir ke program ini turut diberi makanan iftar secara percuma, jadi program jualan beras harga Rahmah ini juga adalah selari dengan hasrat untuk membantu ramai orang terutamanya yang memerlukan.

“Hari ini (Rabu) kita memang fokus pada jualan untuk jenama beras nombor satu Malaysia, Jasmine. Khamis pula kita akan jual beras jenama Era dengan harga yang sama,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Farhan memberitahu, umat Islam yang hadir ke program Iftar ala Madinah @Karangkraf juga berpeluang melipatgandakan pahala di bulan suci ini melalui pemberian infak.

Jelasnya, bagi pengunjung yang berinfak sebanyak RM25, pihaknya akan sedekahkan beras 10kg kepada penerima tertentu.

“Kaedah ini juga memudahkan orang ramai untuk menderma dan berinfak dengan beras kepada golongan memerlukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, jelas Farhan, syarikat turut menjemput anak-anak yatim dan asnaf daripada Rumah Amal Raudhatul Jannah yang terletak di Banting.

“Mereka datang untuk membuat persembahan nasyid dan memeriahkan majlis. Rumah Amal Raudhatul Jannah merupakan sebahagian daripada kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) Jasmine di mana kita dapatkan dana untuk membantu rumah kebajikan ini.

“Hari ini sempena acara penutup, kita beri sumbangan berjumlah RM10,000 kepada mereka,” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!