Lepat bunga chica juadah setahun sekali

Keluarga Bashah menikmati keistimewaan lepat bunga chica di rumah mereka di Kampung Pisang, Padang Terap. Kuih lepat bunga chica (dalam bulatan) yang telah siap untuk dihidangkan.
Keluarga Bashah menikmati keistimewaan lepat bunga chica di rumah mereka di Kampung Pisang, Padang Terap. Kuih lepat bunga chica (dalam bulatan) yang telah siap untuk dihidangkan.
A
A
A

PADANG TERAP - Lepat bunga chica merupakan juadah aroma wangi yang unik dan sukar dicari namun boleh didapati di Kedah setiap kali musim panas tiba di negeri ini.

Kuih tersebut hanya dapat dinikmati setahun sekali kerana pokok bunga chica atau nama saintifiknya 'stereospermum fimbriatum DC' tumbuh di dalam hutan dan boleh didapati dalam masa tertentu.

Seorang surirumah, Wan Tun Zakiah Wan Ibrahim, 46, dari Kampung Pisang berkata, bunga chica mengeluarkan warna semula jadi serta bau wangi semasa lepat dikukus dan menjadi juadah yang dinanti-nantikan setiap tahun termasuk bulan Ramadan.

Wan Tun Zakiah mengutip bunga chica yang luruh di Kampung Pisang, Padang Terap.
Wan Tun Zakiah mengutip bunga chica yang luruh di Kampung Pisang, Padang Terap.

Menurutnya, bunga chicha yang luruh akan dikutip dan dijemur sehingga kering sepenuhnya sebelum dikisar dan disimpan di dalam peti ais.

"Bunga ini akan luruh dalam waktu tengah hari dan hasil yang dikutip dibawa pulang untuk dicuci sebelum proses membuat lepat bunga chica boleh dilakukan," katanya semasa ditemui baru-baru ini, dekat sini.

Jelas Wan Tun Zakiah, bunga chicha boleh didapati sekitar bulan Januari hingga penghujung Mac dan penduduk akan ke kawasan hutan di hujung kampung untuk mencarinya.

Bunga Chica luruh apabila ditiup oleh angin yang kuat.
Bunga Chica luruh apabila ditiup oleh angin yang kuat.

Bagi Zaiton Husain, 55, pula, selepas bunga dikutip dan dicuci, ia perlu dijemur di bawah cahaya matahari dalam tempoh melebihi lima jam bagi memastikan kering sepenuhnya.

"Bunga chicha yang kering kemudian dikisar dan disimpan di dalam peti ais mampu bertahan untuk jangka masa setahun hingga dua tahun," kata suri rumah tersebut.

Seorang lagi suri rumah, Bashah Abdullah, 63, berkata, kuih tersebut lebih enak dinikmati jika terus dimasak selepas bunga chicha dikutip.

Menurutnya, bunga Chica yang dikutip akan dicuci bersih dan dicampur dengan santan, tepung beras, gula serta garam sebelum dikisar sehingga halus dan dibalut dengan daun pisang hutan.

"Lepat bunga chica ini aromanya tak sama dengan lepat lain. Kuih lepat lain tidak wangi seperti lepat bunga chicha. Ini antara kelebihan bunga chicha sebab wangi," ujar Bashah.

Tambahnya, teknik membungkus lepat juga perlu diberikan perhatian kerana jika tersilap air kukusan akan masuk mengenai tepung menyebabkan kuih itu menjadi lembik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!