PRN: Dua negeri belum muktamad rundingan
ALOR SETAR - Hanya dua negeri masih belum selesai mengadakan rundingan agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, empat negeri telah pun memuktamadkan pembahagian kerusi antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) yang telah mencapai 80 peratus.
Menurutnya, rundingan yang masih dijalankan hanya melibatkan Negeri Sembilan dan Selangor membabitkan beberapa kerusi sahaja.
“Ada sedikit lagi belum selesai di dua negeri itu, melibatkan dua atau tiga kerusi sahaja, yang negeri lain sudah selesai.
“Ia bukanlah disebabkan kerusi panas atau jadi rebutan, cuma rundingan belum dapat dicapai dalam perjumpaan lalu,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan insentif kemenangan Para Sukan Malaysia (SUKMA) kepada atlet Kedah di Kompleks Belia dan Sukan Kedah di sini pada petang Khamis.
Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah berkata, agihan kerusi yang masih belum selesai itu dijangka dapat dimuktamadkan dalam rundingan seterusnya pada Ahad ini.
“Kita sudah berikan masa kepada mereka untuk selesaikan rundingan sehingga Ahad, iaitu tempoh seminggu diberikan selepas perjumpaan lepas.
“Bukan ada masalah serius cuma ketika itu rundingan tak dapat diselesaikan lagi, jadi kita suruh runding sekali lagi,” jelasnya.
Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah itu bagaimanapun menolak desas-desus yang mendakwa kelewatan mencapai kesepakatan di dua negeri terbabit disebabkan pemimpin luar parti seperti bekas ahli UMNO, antaranya Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan diketengahkan sebagai calon PN.
“Lambat selesai tiada kaitan dengan desas-desus itu, ini cuma rundingan kerusi sahaja, bukan calon,” tegasnya.
Pada Rabu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, perbincangan agihan kerusi DUN bagi PRN dalam kalangan parti komponen PN telah mencapai 80 peratus.
Pembahagian kerusi tersebut dibuat secara muafakat melibatkan seluruh parti komponen PN dan perbincangan pusingan pertama tersebut berjalan lancar.
Enam negeri, iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu sebelum ini mencapai kata sepakat membubarkan DUN masing-masing pada Jun bagi memberi laluan kepada PRN.
Kesepakatan itu dicapai menerusi pertemuan enam mata antara Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Datuk Seri Aminuddin Harun (Negeri Sembilan), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (Kedah), Datuk Ahmad Yakob (Kelantan), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Terengganu) dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Kesemua pemimpin negeri itu sepakat membubarkan DUN dalam dua minggu terakhir Jun dalam pertemuan yang diadakan pada 22 Februari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!