Gadis curi kad ATM ibu saudara tiri diberkas polis

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Padah mencuri kad ATM dan menggunakan wang milik ibu saudara tirinya sendiri untuk membeli telefon bimbit berjenaman serta pelbagai kegunaan lain sebelum menghilangkan diri sejak 23 Mac lalu, seorang gadis akhirnya diberkas pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya sebelum ini menerima laporan daripada mangsa berkenaan pengurangan wang di dalam akaun bank miliknya sebanyak RM8,200.

"Siasatan mendapati transaksi ini bermula pada 23 Mac secara berperingkat.

"Siasatan kemudiannya dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, suspek berusia 21 tahun itu berjaya diberkas kira-kira jam 12.25 tengah malam di sebuah premis di Pandan Perdana dekat sini.

"Turut dirampas sekeping kad ATM milik mangsa dan sebuah telefon bimbit berjenama yang dipercayai dibeli menggunakan transaksi akaun bank mangsa," ujarnya.

Pada Khamis, tular di media sosial seorang wanita mendakwa menjadi mangsa anak saudara tirinya sendiri setelah kad ATM miliknya dicuri selain wang turut digunakan untuk membeli telefon bimbit berjenama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!