Selangor sedia 36, 000 ayam segar, murah

Info grafik sempena bulan murah bermula pada Sabtu dan enyataan dikeluarkan PKPS pada Jumaat
Info grafik sempena bulan murah bermula pada Sabtu dan enyataan dikeluarkan PKPS pada Jumaat
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai berpeluang menikmati penjimatan sebanyak 30 peratus sempena Jualan Mega Ehsan Aidilftri anjuran kerajaan negeri Selangor bermula pada Sabtu.

Jualan mega anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) ini membabitkan lima produk makanan asas iaitu ayam, telur, daging, beras dan minyak masak.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, jualan mega itu diadakan di 23 lokasi dalam tempoh bermula 15 hingga 20 April ini.

Menurutnya, program itu juga mendapat kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah).

"FAMA Selangor akan menganjurkan jualan di 11 lokasi manakala PKPS dan KoHijrah masing-masing mengendalikan enam lokasi.

"Jualan yang bermula hujung minggu ini juga menawarkan kuantiti barangan lebih banyak termasuk lebih 36,000 ekor ayam berbanding penganjuran Jelajah Ehsan Rakyat (JER) pada hari biasa," katanya pada Jumaat.

Menurutnya, jualan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM1.5 juta dengan subsidi berjumlah RM375,000 daripada kerajaan negeri disalurkan kepada tiga agensi terbabit mengikut jumlah barangan dijual.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi pula berkata, program ini adalah kesinambungan Program JER yang dilaksanakan September tahun lalu.

"Alhamdulillah program JER ini mendapat sambutan amat menggalakkan di mana produk segar habis terjual di hampir semua lokasi jualan.

"Sehubungan itu, kami berusaha untuk mendapatkan stok produk segar yang lebih banyak bagi membantu meringankan beban rakyat B40 di Selangor," katanya.

Butiran produk dijual di setiap lokasi adalah ayam standard dengan berat purata 1.8 kilogram (kg) iaitu RM10 seekor, diskaun RM7 berbanding harga pasaran semasa RM17.

Telur ayam gred B pada harga RM10 sepapan (30 biji) dengan melibatkan penjimatan sebanyak RM3.90 berbanding harga pasaran semasa RM13.90.

Daging pejal segar pada harga RM35.00 per/kg, penjimatan RM7 per/kg berbanding harga pasaran semasa RM42 per/kg.

Beras pula pada harga RM10 bagi lima kg berbanding harga pasaran semasa RM13 dan minyak masak lima kg pada harga RM25 berbanding harga semasa RM31.

Jadual lengkap serta lokasi program jualan boleh dilayari menerusi pautan https://linktr.ee/myPKPS

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!