RM15 juta tukar laptop guru MRSM
SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (Mara) meluluskan peruntukan RM15 juta bagi menukar laptop lama guru-guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dibuat setelah mendengar aduan daripada guru-guru MRSM yang masih bergantung kepada laptop lama.
“Setakat sembilan MRSM yang saya lawati sejak empat minggu saya dilantik Pengerusi Mara, ramai guru-guru yang saya temui mengadu kerana terpaksa bergantung kepada laptop lama yang rata-rata hampir 10 tahun usianya.
“Terngiang-ngiang lagi seorang guru Sains memberitahu yang dia masih menggunakan ‘table-top’ yang amat ‘slow’ dan bukannya laptop.
“Alhamdulillah, Majlis Mara telah luluskan RM15 juta untuk proses penukaran laptop-laptop lama guru-guru dan kakitangan MRSM secara berperingkat,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Jumaat.
Tambah Asyraf, Bahagian Teknologi Maklumat Mara telah memberikan taklimat tentang proses penukaran laptop-laptop lama dalam masa terdekat dan segera.
Beliau turut memberikan jaminan pihaknya tidak akan berkompromi dengan segala prosedur operasi standard, tata kelola dan tata cara perolehan dan aspek ketelusan dalam penukaran laptop baharu ini.
“Moga ia dapat lebih memberikan semangat dan perangsang kepada para pendidik di 55 MRSM bagi meneruskan agenda transformasi anak bangsa, Insya-ALLAH,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!