Pelita kelapa mampu bertahan lebih 24 jam
KUALA TERENGGANU - Pelita dihasilkan dari kelapa tua atau lebih sinonim digelar pelita 'nyior' dalam dialek Terengganu mampu bertahan sehingga lebih 24 jam jika api pada sumbunya tidak dipadamkan.
Ketua Penolong Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Mohd Kamal Abdul Rahman, 41, berkata, pemilihan buah serbaguna itu untuk dijadikan pelita sempena Program Pelita Raya Terengganu 2023 (PELITER @KBT).
Katanya, ia mengambil ilham dari bahan-bahan yang digunakan oleh masyarakat Melayu terdahulu dalam kehidupan sehari-harian.
"Buah kelapa sesuai digunakan untuk dijadikan pelita kerana bentuknya yang keras. Lagipun masyarakat terdahulu juga ada gunakan kelapa untuk dijadikan pelita.
"Setakat ini, api pada sumbu pelita ini mampu bertahan lebih sehari sekiranya bahan api (minyak diesel) diisi penuh di dalam tempurungnya," katanya ketika ditemui pemberita sempena Pre-Tour PELITER@KTB 2023 di Kampung Budaya Terengganu (KBT), Kompleks Muzium Negeri Terengganu, di sini malam Khamis.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria.
Pelita nyior dihasilkan oleh Pejabat Daerah Hulu Terengganu itu akan dipamerkan bagi menceriakan kawasan Perahu Besar dan Galeri Pelayaran di KBT sempena PELITER @KBT yang akan berlangsung pada 14 hingga 18 April ini.
Menurut Mohd Kamal, sebelum ini beliau pernah menggunakan bahan dari kelapa untuk membuat pelita dengan hanya menggunakan tempurung.
"Bila lihat banyak sabut kelapa yang dibuang, kita terfikir untuk guna keseluruhan buah kelapa pada program tahun ini dan kami berpuas hati kerana ia lebih stabil dan nampak lebih unik.
"Penggunaan buah kelapa tua ini bukan hanya memanfaatkan sepenuhnya bahan dari sumber alam bahkan dapat mengelak berlakunya pembaziran," katanya yang berasal dari Kg Nibong, di sini.
Mohd Kamal memberitahu, kos bahan-bahan yang digunakan adalah minimum dan tidak menelan belanja yang besar.
"Untuk program ini kami hanya gunakan 100 biji kelapa, 200 batang buluh, minyak diesel, antena dari televisyen lama untuk dijadikan pemegang sumbu pelita.
"Kebanyakan bahan-bahan ini dari sumber alam seperti buluh dan kelapa. Yang perlu beli hanya sumbu pelita dan bahan api. Antena televisyen pula diambil dari bahan terpakai yang kini sudah tidak lagi digunakan," ujarnya.
Ujar Mohd Kamal, setakat ini mereka tidak berhasrat untuk mengkomersialkan penggunaan pelita kelapa namun akan mempertimbangkan sekiranya terdapat permintaan untuk berbuat demikian.
"Walaupun nampak agak mudah untuk hasilkan pelita ini, kami ambil masa sehari suntuk untuk memotong bahagian sabut kelapa dan memotong bahagian bawah kelapa untuk dijadikan tapak pelita," katanya.
Program PELITER @KBT yang akan berlangsung di Losong, di sini dijangka menarik kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, program pada malam tujuh likur yang bertemakan Comeynya Peliter mengetengahkan konsep ‘1 Pejabat Daerah 1 Rumah Tradisi’.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!