13 motor terbakar di KLCC: Seorang lelaki ditahan bantu siasatan
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes kebakaran 13 motosikal dan empat skuter elektrik di tempat parkir pusat belah-belah Suria KLCC di sini pada Khamis ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Delhan Yahaya berkata, suspek yang ditahan merupakan lelaki tempatan berumur 34 tahun.
"Suspek diberkas bagi siasatan lanjut berkaitan kejadian selain rampasan turut dijalankan melibatkan sebuah motosikal jenis Honda RS, serangkai kunci motosikal, topi keledar, sehelai baju dan seluar.
"Selain itu turut dirampas adalah sepasang sarung lengan, satu beg, jam tangan dan pemetik api," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, setakat ini pihankya masih menjalankan siasatan berhubung motif dan punca kejadian.
"Siasatan menyeluruh berkaitan kejadian masih dalam siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya.
Pada Khamis, 13 buah motosikal dan empat skuter elektrik terbakar di kawasan parkir pusat beli-belah Suria KLCC, Jalan Ampang di sini.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Iqbal Khan Malek Khan berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada jam 3.46 petang.
"Seramai 15 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak bergegas ke lokasi kejadian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!