HASil Quran Hour medan baharu pencetus minda ummah
CYBERJAYA - Penganjuran program berkaitan al-Quran iaitu HASil Quran Hour di bulan Ramadan menjadi medan baharu pencetus minda ummah.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Dr Mohd Nizom Sairi berkata, inisiatif itu bagi melonjakkan potensi setiap individu serta penyelarasan kerangka fikir melalui al-Quran, tadabbur dan tazakkur yang turut dipandu Sunnah Rasullulah SAW.
"Walaupun hanya satu jam masa diluangkan, namun program ini penuh bermakna kerana dengan penghayatan kepada ajaran yang terkandung dalam al-Quran dapat membentuk akhlak dan sahsiah diri yang tinggi dalam kalangan Team HASiL," katanya dalam ucapan Program Pembudayaan al-Quran: HASil Quran Hour 2023 pada Jumaat.
Mengangkat tema 'Memanusiakan Manusia' (Humanising the Ummah), HASil Quran Hour memilih surah Al-Insan sebagai surah pilihan.
Menurutnya, pemilihan tema itu bertepatan dengan agenda Humanising the Home, Humanising the Workplace, Humanising the Nation dan Humanising the World dalam usaha merealisasikan misi masuk syurga sekeluarga.
"Dengan surah Al-Insan sebagai panduan, terdapat dua perkara penting yang perlu diselaraskan dalam diri setiap umat manusia bagi mencapai misi tersebut, iaitu kerangka fikir dengan menyedari bahawa manusia adalah hamba ALLAH SWT.
"Keduanya sistem operasi diri dengan menjadikan al-Quran sebagai panduan kehidupan," katanya.
Beliau berkata, Malaysia Madani yang menjadi gagasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui enam nilai teras yang diasaskan, iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan, dilihat turut mengambil intipati daripada surah ini dalam memperkukuh modal insan masyarakat Madani.
Menyoroti kembali penganjuran HASil Quran Hour, Mohd Nizom berkata ia adalah titik tolak kepada program #WorldQuranHour yang dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) pada tahun 2016 yang disertai di peringkat dunia.
"Penganjuran sulung program World Quran Hour yang berjaya menyatukan lebih 10 juta umat Islam dari 50 negara seluruh dunia ini jelas menzahirkan kehebatan al-Quran sebagai mukjizat junjungan besar Nabi Muhammad SAW," katanya.
Beliau berkata, konsep #WorldQuranHour juga dilihat sebagai inisiatif yang berkesan dan bersesuaian dengan persekitaran dunia global sebagai satu pendekatan dakwah menyebarkan syiar keagungan islam dalam perkampungan tanpa sempadan.
"Sebagai rakyat Malaysia, sewajarnya kita berbangga dengan inisiatif penganjuran program bertaraf global ini yang ternyata berjaya mengangkat budaya tadarus al-Quran
dalam kalangan umat Islam daripada pelbagai lapisan masyarakat, rentas budaya dan negara," katanya.
Justeru, Mohd Nizom berkata, bermula tahun 2019, HASiL Quran Hour telah diserap dan dijadikan sebagai salah satu komponen program rasmi Ihya Ramadan HASiL bersempena dengan kedatangan bulan Ramadan yang mulia.
"Melalui program ini, Team HASiL berpeluang untuk meluangkan masa membaca dan menghayati makna ayatayat suci al-Quran kerana alunan ayat suci yang dibaca atau didengari memiliki kuasa untuk melembutkan hati," katanya.
Sebelum itu, program kerohanian yang diadakan di Masjid Cyber 10 itu dimulakan dengan acara rakaman takbir Aidilfitri, tadabbur surah al- Insan, tadarus sebelum diakhiri dengan majlis khatam al-Quran dan pengagihan 1,000 bekas bubur lambuk dihadiri oleh 300 pegawai LHDN sekitar Lembah Klang.
Sesi tadabbur dipimpin oleh Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), De Muhammad Hafiz Salleh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!