Pukau, tipu warga emas, tiga individu diberkas

Gambar hiasan (Gambar kecil: Wan Hassan)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Wan Hassan)
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Polis menahan dua wanita warga China dan lelaki tempatan kerana disyaki terbabit sindiket penipuan secara pukau yang menyasarkan warga emas di Kedah melalui Op Gagak pada Khamis.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, sepasukan pegawai dan anggota mengekori kereta yang mencurigakan dinaiki tiga individu lebih kurang jam 11.45 pagi di Simpang Kuala, di sini.

Menurut beliau, pihak polis kemudiannya menahan kenderaan mereka dan melakukan pemeriksaaan ke atas tiga individu menaiki kenderaan itu.

"Melalui soal siasat, seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun itu mengaku bertindak sebagai pemandu kepada dua wanita warga China yang berusia 47 dan 55 tahun yang menjalankan aktiviti penipuan secara pukau bersemuka dengan menyasarkan warga emas.

"Hasil semakan mendapati sehingga kini terdapat satu kes dilaporkan dalam daerah Kota Setar membabitkan seorang suri rumah lingkungan usia 70 tahun dengan nilai kerugian dianggarkan RM110,000," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Wan Hassan memberitahu, ketiga-tiga individu seterusnya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.

"Kes yang dilapor pada 12 April itu berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau menambah, pihaknya merampas seutas jam tangan jenama Rolex, dua utas rantai leher dan sebentuk cincin perak disyaki emas putih, tujuh pasang subang emas, enam utas rantai leher, empat utas gelang kaki emas dan lima bentuk cincin emas.

Antara lain katanya, bar bertulisan disyaki emas, sepasang subang perak, empat loket emas serta wang tunai bercampur-campur sebanyak RM1,667, mata wang China 700 yuan dan 1,000 dolar Hong Kong, beg silang biru, tiga telefon bimbit dan sebuah kereta Honda City.

Menurut Wan Hassan, siasatan mendapati sindiket itu dipercayai aktif sejak dua bulan lalu dan menyewa kenderaan bagi memudahkan pergerakan mereka.

"Modus operandi mereka adalah dengan mengenal pasti mangsa di sekitar pasar pagi dan berpura-pura meminta bantuan kewangan dengan alasan mempunyai saudara yang sakit dan perlu diubati segera," katanya.

Beliau memaklumkan, mereka akan mendorong mangsa untuk menyerahkan wang, barang kemas atau barangan berharga dan menjanjikan pulangan semula yang lumayan sebagai balasan terhadap bantuan diberikan.

"Bagaimanapun, sewaktu pemulangan semula bantuan terbabit, mangsa mendapati hanya terdapat air mineral dan garam yang diletakkan dalam sampul," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berhati-hati termasuklah tidak mudah percaya terhadap rayuan individu yang tidak dikenali.

"Orang ramai juga diminta mendapatkan nasihat ahli keluarga sebelum membuat apa-apa keputusan untuk membantu orang lain," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!