37,000 tan sampah dikutip di KL minggu ketiga Ramadan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Kutipan sisa domestik di Kuala Lumpur meningkat sebanyak enam peratus iaitu 37,000 tan pada minggu ketiga Ramadan.

Berbanding tahun lalu, kutipan sisa domestik di Kuala Lumpur mencatatkan jumlah sebanyak 34,000 tan.

Situasi sama turut berlaku di Putrajaya apabila Alam Flora merekodkan peningkatan satu peratus daripada 2,060 tan tahun lalu kepada 2,075 tan bagi tempoh sama.

Berbeza di Pahang, kutipan sisa domestik menunjukkan penurunan sebanyak dua peratus iaitu dari 14,437 tan ke 14,410 tan.

Ketua Pegawai Operasi Alam Flora, Azahari Zainal Abidin berkata, kempen Bawa Pulang Sampah Anda yang dilancarkan bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai dan peniaga.

Azahari (kanan) ketika majlis perasmian Kempen Bawa Pulang Sampah Anda pada Khamis.
Azahari (kanan) ketika majlis perasmian Kempen Bawa Pulang Sampah Anda pada Khamis.

"Ini bagi memastikan agar mereka sentiasa menjaga kebersihan di bazar Ramadan dan lokasi lain yang dikunjungi orang ramai untuk berbuka puasa," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menggalakkan orang ramai mengutip sampah dan membuangnya di saluran bersesuaian dalam usaha mengekalkan persekitaran yang lebih hijau dan bersih.

"Budaya kesedaran lestari ini harus diterapkan terutamanya pada Ramadan di mana banyak gerai dan restoran menyediakan juadah untuk umat Islam berbuka puasa," katanya.

Beliau berkata, walaupun tong sampah mencukupi telah disediakan dan pekerja Alam Flora ditugaskan untuk membersihkan kawasan, tetapi kadang kala, terdapat lebihan pelupusan tidak dijangka yang boleh mengakibatkan limpahan sampah.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan peniaga bazar Ramadan di Selangor membuang sekitar 1,326.06 tan makanan tidak habis dijual dalam tempoh 18 hari rakyat Malaysia berpuasa.

Jika digambarkan, jumlah pembaziran makanan berkenaan bersamaan dengan berat 195 ekor gajah dewasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!