KPWKM draf RUU Warga Emas
PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mendrafkan Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas yang bertujuan untuk menjaga kesejahteraan golongan itu.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, RUU yang meliputi perlindungan kebajikan dan hak asasi serta pemerkasaan warga emas itu, dijangka dibentangkan pada tahun depan.
Beliau berkata, KPWKM juga dalam proses menyemak Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN).
Katanya sehubungan itu, kementerian akan menjemput beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi pandangan supaya pelan tindakan bagi 2023-2030 adalah inklusif dan menyeluruh demi kesejahteraan warga emas.
"Cadangan daripada NGO serta pihak berkaitan dialu-alukan dalam usaha meningkatkan tahap kehidupan warga emas di Malaysia,” katanya yang mengakui keperluan untuk memastikan negara bersedia menjelang 2030 dengan Malaysia dijangka mencapai status ‘negara tua’. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!