NGO serah memorandum tuntut pengeluaran kecemasan KWSP
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Global Human Rights Federation (GHRF) menyerahkan memorandum dan petisyen bagi membantah Fasiliti Sokongan Akaun Dua (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Dalam memorandum tersebut turut menuntut agar pengeluaran kecemasan KWSP 2.0 secara bersasar diluluskan dengan segera.
Presiden PGIRM, Azmi Mohd Tahir berkata, keputusan kerajaan menawarkan FSA2 dilihat sama sekali tidak membantu pencarum yang terkesan sebaliknya membebankan dengan penambahan hutang sedia ada.
"Malah, memberi peluang kepada pencarum yang tidak terkesan dan mempunyai pendapatan stabil untuk mengambil kesempatan menggunakan FSA2 ini.
"Bersama-sama PGIRM, PPIM dan GHRF hari ini ialah pencarum-pencarum yang datang dari setiap pelosok negara.
"Walau dalam kesempitan, mereka datang untuk bersolidariti menunjukkan bantahan dan menuntut pengeluaran wang KWSP mereka diluluskan dengan segera," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyerahkan memorandum di Menara KWSP, Kwasa Damansara pada Jumaat.
Dianggarkan seramai 50 orang pencarum yang turut berkumpul di pekarangan luar Menara KWSP bagi menyatakan bantahan FSA2 dan menuntut pengeluaran kecemasan KWSP 2.0 secara bersasar diluluskan dengan segera.
Azmi berkata, kebanyakkan pencarum yang terkesan dan terdesak memerlukan suntikan wang tunai itu adalah mereka yang sudah muflis atau disenarai hitam dalam senarai Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), CTOS serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
"Adakah golongan pencarum ini layak membuat pinjaman kepada pihak bank danmenggunakan FSA2 yang ditawarkan?
"Telah diperincikan juga, syarat FSA2 ialah mempunyai baki minimum RM 3,000 di dalam Akaun 2.
"Ini juga salah satu faktor FSA2 tidak membantu golongan terkesan kerana majoriti golongan pencarum terkesan ini sudah tidak mempunyai baki atau baki yang sangat kecil setelah melalui beberapa siri," menurutnya.
Dalam pada itu, ujar Azmi, pengeluaran KWSP secara bersasar merupakan penyelesaian jangka pendek, panjang dan efektif dalam memberikan suntikan tunai segera kepada golongan pencarum terkesan tanpa perlu menambah lagi bebanan hutang dan komitmen yang baru.
"Untuk pelan jangka panjang, pihak kerajaan boleh membantu dan memastikan bahawa baki di dalam akaun pencarum yang membuat pengeluaran ini akan bertambah dengan mewujudkan program pemulihan seperti menyediakan peluang pekerjaan tanpa had umur dan tahap kesihatan serta menyelaraskan pendapatan per kapita yang selari dengan sara hidup.
"PGIRM, PPIM dan GHRE tidak dapat melihat apakah alternatif lain yang boleh ditawarkan kerajaan menjadi langkah penyelesaian segera dan efektif ke atas pelbagai masalah rakyat khasnya pencarum yang semakin meruncing.
"Belum lagi mengambil kira rakyat yang keciciran dalam menerima bantuan kerana maklumat yang tidak dikemas kini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!