Dua anggota polis ditikam pengedar dadah guna pisau rambo

Kedua-dua mangsa kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II.
Kedua-dua mangsa kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Dua anggota polis cedera ditikam bertubi-tubi dengan menggunakan pisau rambo oleh seorang suspek pengedar dadah ketika pergelutan di Kampung Siput Meranti, Pasir Mas, pada Khamis.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, Lans Koperal Mohammad Arif Ismail, 28, cedera di tangan kanan, kepala dan belakang badan manakala Lans Koperal Aminullah Islahudin, 29, pula cedera pada lengan kiri, kanan serta kaki.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kedua-dua anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan terbabit sebelum itu cuba menahan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang memegang satu plastik berwarna hitam di tepi sebuah motosikal.

“Semasa hendak ditahan, berlaku pergelutan dan suspek yang memegang sebilah pisau di tangan kanan bertindak menikam kedua-dua anggota polis.

“Pemeriksaan dalam plastik tersebut menjumpai 12,000 pil kuda dan 282.9 gram heroin dianggarkan bernilai RM232,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan pada Jumaat.

Beliau berkata, sebilah pisau yang digunakan turut dirampas dan suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan.

“Kedua-dua anggota polis dirawat di HRPZ II (Hospital Raja Perempuan Zainab II) dan berada dalam keadaan stabil.

“Suspek penganggur yang mempunyai dua rekod lampau turut mengalami kecederaan ringan akibat pergelutan itu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh, 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar.

Muhamad Zaki dalam pada itu turut memuji keberanian anggota-anggota terbabit yang mengadai nyawa menjalankan tanggungjawab mereka menjaga keselamatan negara sehingga tercedera.

“Saya menghargai jasa mereka dan semoga cepat sembuh serta terus bersemangat untuk berbakti kepada masyarakat,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, seorang lelaki warga Thailand berusia 27 tahun ditahan dalam serbuan berasingan dan merampas 30,000 pil kuda bernilai RM330,000 di tepi sungai Rantau Panjang, Pasir Mas pada 11 Mac lalu.

“Polis menyiasat sekirannya terdapat hubung kait antara kedua-dua kes ini.

“Suspek lelaki tersebut ditahan selama 14 hari sehingga Sabtu minggu depan untuk siasatan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!