PM minta tempoh bukti tatakelola baik, hapus rasuah

Anwar (depan, tengah) bergambar bersama wakil penjawat awam Pulau Pinang pada Majlis Amanat Perdana Menteri kepada Penjawat Persekutuan dan Negeri Pulau Pinang di Dewan Besar UiTM Cawangan Pulau Pinang pada Jumaat.
Anwar (depan, tengah) bergambar bersama wakil penjawat awam Pulau Pinang pada Majlis Amanat Perdana Menteri kepada Penjawat Persekutuan dan Negeri Pulau Pinang di Dewan Besar UiTM Cawangan Pulau Pinang pada Jumaat.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta tempoh kepada rakyat untuk membuktikan tatakelola yang baik selain menghentikan amalan rasuah dalam pentadbiran negara.

Beliau berkata, kerajaan perlu memperbetulkan banyak kecurangan, salah kuasa untuk merompak hasil negara serta amalan rasuah yang membelenggu pentadbiran negara.

Anwar berkata, pelakukan rasuah juga bukan hanya melibatkan individu tertentu sebaliknya membabitkan satu sistem.

"Beri tempoh beberapa tahun kepada kerajaan untuk membuktikan satu pentadbiran dan tatakelola yang baik dan bersih selain menghapuskan amalan rasuah yang telah membelenggu negara selama ini.

"Saya akui, ia bukan mudah untuk melakukan semua ini.

"Ini kerana, amalan rasuah ini sudah lama menjalar dalam pentadbiran negara di semua peringkat," katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri kepada Penjawat Persekutuan dan Negeri Pulau Pinang di Dewan Besar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang di sini pada Jumaat.

Kata beliau, kejayaan menghapuskan amalan rasuah itu mampu meningkatkan hasil negara seterusnya membolehkan kerajaan mengagihkan semula hasil kepada rakyat.

"Negara kita bukan lagi terkenal kerana kepelbagaian kaum atau prestasi ekonomi yang baik tetapi kerana skandal 1MDB.

"Saya buka fail (kerajaan) dalam beberapa keputusan setahun dua ini dan ia penuh dengan kecurangan, nafsu serakah pemimpin.

"Saya tidak peduli sama ada dia (pemimpin) Cina atau Melayu atau daripada parti mana, saya beritahu SPRM supaya bertindak secara profesional dengan data dan fakta yang betul. Sekiranya ada kes, Peguam Negara ambil tindakan pendakwaan supaya menjadi pengajaran," tambah Anwar.

Sementara itu, Anwar menegaskan bahawa adalah penting untuk kerajaan pusat dan Pulau Pinang memastikan kestabilan politik sekali gus sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) nanti.

"Adalah penting untuk pusat dan kerajaan negeri untuk bekerja sebagai satu pasukan untuk menghadapi PRN. Rakyat perlu faham mengapa kerajaan negeri yang boleh bekerjasama dengan Kerajaan Pusat perlu dipertahankan.

"Saya minta rakyat faham keperluan kita mempertahankan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pastika kerajaan negeri ini kuat supaya dapat membantu kita memperkuatkan lagi Kerajaan Perpaduan di peringkat kerajaan pusat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!