Himpunan Al-Quds, polis kenal pasti individu terlibat

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengenal pasti individu tertentu yang akan dipanggil untuk direkod keterangan jika diperlukan berhubung Himpunan Solidariti Hari Al-Quds berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, himpunan itu dikesan bermula jam 2 petang dengan dihadiri kira-kira 300 orang.

Menurutnya, satu memorandum telah diserahkan pada jam 2.25 petang oleh wakil Sekretariat Palestin Malaysia (SPM), Mohd Azmi Abdul Hamid kepada wakil Kedutaan AS dan diterima oleh penasihat politik, Neal Turner.

"Kandungan memorandum yang diserahkan adalah berkisar kecaman terhadap AS yang selama ini menjadi sekutu kuat Israel.

"Memorandum juga menyentuh pendirian badan bukan kerajaan (NGO) yang berhimpun sebagai tanda solidariti menuntut pembebasan rakyat Palestin yang tertindas di negara sendiri," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Kata Ashari, tiada sebarang permit dipohon untuk menganjurkan perhimpunan tersebut.

Dalam masa sama katanya, polis turut mengesan beberapa plakad yang dibawa peserta himpunan antaranya bertulis 'Israel Kanser Yang Perlu Dibuang Segera', 'Ketahuilah Israel Bakal Hancur' dan Pembebasan Bumi Al-Quds.

Beliau berkata, keadaan sepanjang himpunan berlangsung adalah terkawal dan selesai pada jam 3.20 petang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!