Rakyat perlu mohon untuk Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap
KUALA LUMPUR - Rakyat yang ingin mendapatkan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap perlu membuat permohonan kepada syarikat penyedia perkhidmatan kerana ia tidak dilaksanakan secara automatik.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, selepas permohonan dilakukan, pihak penyedia perkhidmatan akan memaklumkan tentang proses serta syarat yang perlu dipenuhi untuk pakej berkenaan.
"Sebagai contoh, mereka mungkin pelanggan sedia ada tetapi pada pakej yang berbeza. Setelah pakej pada hari ini dilancarkan, maka mereka boleh berhubung dengan penyedia perkhidmatan untuk melakukan perubahan kepada pakej baharu.
"Sekiranya cukup semua syarat, maka ia akan diluluskan oleh syarikat penyedia perkhidmatan Internet jalur lebar talian tetap,” katanya selepas melancarkan Pakej Perpaduan Projek Perumahan Rakyat (PPR)/ Perumahan Awam (PA)@MyKabel di Dataran PPR Kerinchi di sini pada Jumaat.
Fahmi berkata, kontrak antara penyedia perkhidmatan dengan pelanggan tidak melibatkan kerajaan, bagaimanapun pelanggan masih boleh menyalurkan sebarang aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sekiranya terdapat masalah.
Mengenai program hari ini, beliau berkata, sebagai permulaan sebanyak 40,000 unit PPR disasarkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan iaitu TIME dotCom (Time) untuk Pakej Perpaduan PPR/PA@MyKabel.
Ia melibatkan PPR Kampung Baru Hicom, PPR Kota Damansara, PPR Lembah Subang 2 dan PPR Taman Putra Damai di Selangor; PPR Kerinchi dan PA Desa Rejang di Kuala Lumpur; PPR Melana Indah 2 di Johor serta PPR Kampung Melayu di Pulau Pinang.
Pakej tersebut menyediakan Internet berkelajuan 100 Mbps dengan data tanpa had RM69 berserta kontrak langganan 24 bulan, 30 peratus lebih murah berbanding harga pakej semasa sekitar RM99 di kawasan perumahan berstrata.
Dalam pada itu, Fahmi berkata tahap capaian 5G di Kuala Lumpur kini adalah 97.5 peratus berbanding 54.7 peratus capaian di seluruh negara.
Turut hadir pada majlis itu Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital) Kementerian Komunikasi dan Digital Ma. Sivanesan, Pengarah Eksekutif Time Datuk Zainal Amanshah Zainal Arshad dan Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Datuk Azmi Abdul Hamid. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!