Kerajaan sedia RM200 juta bangunkan tanah wakaf Pulau Pinang
BUKIT MERTAJAM - Kerajaan persekutuan menyediakan peruntukan RM200 juta untuk mambangunkan semua tanah wakaf di Pulau Pinang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu akan diberikan secara dana pinjaman mudah yang bakal dikendalikan Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang yang dipengerusikan Tan Sri Khalid Ramli.
Menurutnya, untuk permulaan, dana itu akan digunakan untuk membangunkan projek perumahan di atas tanah wakaf di Permatang Pauh di sini.
"Salah satu cara meningkatkan pemerkasaan sosiekonomi bumiputera adalah melalui pemilikan hartanah.
"Oleh itu, bagi memastikan hasrat untuk meningkatkan pemilikan hartanah bumiputera di Pulau Pinang dapat dicapai serta memacu pembangunan tanah wakaf, kerajaan telah bersetuju untuk meluluskan peruntukan sebanyak RM200 juta," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang 2023 yang pertama di sebuah hotel di sini pada Jumaat.
Tambahnya, terdapat banyak tanah wakaf yang berusia ratusan tahun yang tidak dibangunkan di negeri ini.
"Oleh itu, dengan peruntukan yang diluluskan ini, kita akan cuba bangunkan tanah-tanah wakaf yang terbiar dan tidak dibangunkan mengikut saluran yang betul ini.
"Ini antara tugas utama majlis yang baru ini, sama ada program itu dalam bentuk perumahan atau perniagaan, tentulah mengikut syariah kerana tanah itu adalah tanah wakaf.
"Ada sesetengah tanah wakaf ini berada di kawasan strategik di Pulau Pinang, maka kita boleh bangunkan untuk masyarakat Melayu negeri ini," katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Kerajaan pusat juga meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta bagi membolehkan 1,000 pelajar tahfiz mendapat latihan kemahiran dan pensijilan Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET).
Kata beliau lagi, ia bagi melahirkan lebih ramai modal insan bumiputera madani yang mahir dalam pelbagai bidang teknikal.
"Program ini berupaya melahirkan anak-anak bumiputera Islam yang holistik serta lengkap dengan ilmu pengetahuan agama dan kemahiran teknikal.
"Di Pulau Pinang ini, ada banyak maahad tahfiz, oleh itu, setelah perbincangan, memang ada keperluan maahad ini diberi latihan pendedahan dan peluang kepada bidang lain. Jika tidak, peluang pekerjaan akan terbantut.
"Maka kita setuju untuk gunakan sebahagian pelajar tahfiz ini, selain hafalan al-Quran, mereka juga akan diberi latihan TVET," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!