Penahanan pegawai menteri keputusan SPRM - Anwar
BUKIT MERTAJAM - Penahanan beberapa pegawai Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar adalah keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, arahan yang dikeluarkan oleh beliau kepada SPRM adalah untuk bertindak terhadap sesiapa sahaja jika ada asasnya.
"Saya dimaklumkan beberapa pembantu menteri telah ditahan. Kalau tak silap saya, tiga orang (telah ditangkap).
"Itu keputusan SPRM. Janganlah kita membuat sebarang kesimpulan. Saya hanya diberitahu mengenai penahanan itu,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang 2023 yang pertama di Dewan Bankuet Hotel Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang di sini pada Jumaat.
Difahamkan setakat ini, seramai dua individu yang juga pegawai kanan Sivakumar ditahan SPRM berhubung siasatan kes itu sejak Khamis.
Menurut laporan media, penahanan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan dakwaan suspek menubuhkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing untuk mendapatkan kelulusan kementerian berkenaan walaupun terdapat konflik kepentingan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!