311 lokasi berisiko bencana dipantau musim perayaan
SHAH ALAM - Sebanyak 311 lokasi dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi berlaku bencana alam melibatkan seluruh negeri Selangor yang akan dipantau sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Selangor, Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata, kesemua lokasi tersebut melibatkan kawasan berisiko banjir kilat merangkumi sembilan daerah di negeri ini.
"Operasi khas yang dikenali sebagai Ops Prihatin itu akan dijalankan selama 14 hari antaranya melibatkan pemantauan di lokasi-lokasi terlibat.
"Pemantauan menyeluruh dan berkala di 311 hot spot sepanjang tempoh yang mana penduduk pulang bercuti ke kampung halaman," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Apresiasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Jumaat.
Katanya, lebih 400 anggota dan pegawai APM akan bertugas sepanjang Aidilfitri ini.
Penugasan tersebut termasuk bantuan melibatkan orang awam yang berdepan situasi kecemasan di jalan raya antaranya melibatkan tayar pancit, bateri kenderaan lemah dan kehabisan minyak.
"Selain itu, kesemua anggota dan pegawai yang bertugas ini turut diatur gerak dalam Op Prihatin melibatkan jalan negeri dan persekutuan sepanjang perjalanan balik ke kampung dan pulang semula ke bandar," katanya.
Sementara itu, mengulas penganjuran Majlis Apresiasi APM Selangor katanya, inisiatif tersebut diadakan bagi menghargai jasa pengorbanan warga APM dalam mengharungi pelbagai operasi menyelamat dan juga kepada pengamal media yang sentiasa membantu pihak APM.
"Tragedi Batang Kali pada 16 Disember lalu antara medan cabaran yang menguji tahap kecekapan dan kecekalan APM menangani situasi kecemasan.
"Selain itu, tidak lupa juga kepada para pengamal media yang begitu bertungkus lumus membantu APM Selangor dalam menghebahkan gerak kerja dan tugasan yang dilakukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!