Setiausaha Sulit Menteri Sumber Manusia ditahan SPRM

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Sulit kepada Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) awal pagi Jumaat.

Sumber berkata, individu tersebut diberkas kira-kira jam 2.30 pagi itu ditahan berkaitan siasatan kes pengambilan pekerja asing membabitkan nilai RM97 juta.

"Semalam SPRM telah memberkas seorang pegawai tugas-tugas khas kepada Sivakumar sebelum suspek kedua ini.

"Suspek akan direman empat hari bagi siasatan lanjut," katanya.

Tambah sumber, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan melakukan beberapa lagi tangkapan selepas ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan butiran lanjut berhubung waktu dan lokasi tangkapan dibuat, selain tempoh reman terhadap pegawai terbabit.

Terdahulu, Sivakumar dan kementeriannya akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM berhubung penahanan seorang pegawai di pejabat menteri itu bersabit isu membawa masuk pekerja asing.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika diminta mengulas perkara itu berkata, penahanan beberapa pegawai Menteri Sumber Manusia itu adalah keputusan SPRM.

Anwar menegaskan, arahan yang dikeluarkan oleh beliau kepada SPRM adalah untuk bertindak terhadap sesiapa sahaja jika ada asasnya.

Difahamkan setakat ini, seramai dua individu yang juga pegawai kanan Sivakumar ditahan SPRM berhubung siasatan kes itu sejak Khamis.

Menurut laporan media, penahanan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan dakwaan suspek menubuhkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing untuk mendapatkan kelulusan kementerian berkenaan walaupun terdapat konflik kepentingan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!