Rafizi dibenar peroleh dokumen gaji bekas CEO Sapura Energy
KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat membenarkan permohonan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, untuk mendapatkan dokumen berhubung gaji dan elaun dibayar kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sapura Energy Bhd, Tan Sri Shahril Shamsuddin.
Hakim Lailatul Zuraida Harron @ Haron memerintahkan syarikat itu mengemukakan dokumen yang diminta Rafizi dalam tempoh sebulan dari hari ini.
Peguam Ahli Parlimen Pandan itu, Navpreet Singh, ketika mengesahkan perkara itu selepas sesi pengurusan kes pada Isnin berkata bahawa permohonan itu dibenarkan kerana ia berkaitan kes fitnah yang difailkan oleh Shahril terhadap defendan (Rafizi).
"Pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 15 Mei, iaitu, untuk mengemas kini mahkamah berkenaan dengan pematuhan syarikat terhadap keputusan mahkamah untuk mengemukakan dokumen tersebut,” kata Navpreet.
Pada 24 November tahun lalu, Rafizi telah memfailkan permohonan itu dan meminda pembelaannya yang difailkannya pada Julai tahun lalu.
Dalam permohonan itu, Rafizi telah memohon kebenaran mahkamah untuk Sapura Energy mendedahkan pakej imbuhan dan elaun Shahril.
Shahril memfailkan saman terhadap Rafizi pada Mei tahun lalu, berikutan kenyataan Rafizi dalam tiga artikel yang disiarkan di akaun media sosialnya antara 31 Mac hingga 4 April tahun lalu.
Artikel tersebut sebagai reaksi terhadap kewajaran menggunakan dana awam untuk menyelamatkan syarikat itu seperti yang dicadangkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mahu kerajaan menyuntik lebih banyak dana ke dalam Sapura Energy. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!