'Saya tahan pisau, elak suspek tikam perut rakan'

Muhamad Zaki (dua dari kiri) membacakan doa bagi kesembuhan Aminullah. (Mohammad Arif cedera akibat menahan pisau dipegang suspek bagi mengelak perut rakannya ditikam.)
Muhamad Zaki (dua dari kiri) membacakan doa bagi kesembuhan Aminullah. (Mohammad Arif cedera akibat menahan pisau dipegang suspek bagi mengelak perut rakannya ditikam.)
A
A
A

KOTA BHARU - "Saya genggam pisau tahan daripada suspek cuba tikam perut rakan sekerja."

Itu situasi cemas diceritakan Lans Koperal Mohammad Arif Ismail, 28, ketika bergelut dengan suspek pengedar dadah yang cuba menikam ke perut Lans Koperal Aminullah Islahudin, 29, dalam kejadian di Kampung Siput Meranti, Pasir Mas pada Khamis.

Mohammad Arif berkata, ketika itu dia juga dalam keadaan samar-samar akibat terkena pisau di bahagian muka dan ditikam di bahagian belakang badan.

“Saya cuba genggam pisau rambo yang digunakan oleh suspek tetapi suspek terus agresif menikam kami bertubi-tubi.

“Saya cedera sedalam tiga sentimeter di bahagian belakang badan dan akan melakukan pembedahan malam ini,” katanya ketika ditemui semasa ziarah Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini pada Jumaat.

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.

Sementara itu, Aminullah yang ditikam sebanyak lima kali di lengan kiri berkata, mereka berdua saling melindungi sesama sendiri semasa suspek bertindak di luar kawalan dengan senjata tajam berkenaan.

“Saya bertahan daripada pengsan, begitu juga Mohammad Arif yang turut cedera teruk akibat tindakan suspek.

“Kalau saya pengsan, bahaya nyawa dia. Sama kalau dia pengsan, saya juga boleh mati,” katanya.

Pada kejadian jam 6 petang itu, lelaki tempatan berusia 30 tahun tersebut berjaya ditahan dan 12,000 pil kuda berserta 282.9 gram heroin dirampas.

Suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan kerana cubaan membunuh, menghalang tugas penjawat awam dan mengedar dadah.