PM gesa laporan penuh rampasan heroin RM789.56 juta di Australia

Anwar ketika hadir pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar Kementerian Dalam Negeri (KDN) Madani di Sungai Petani pada Jumaat.
Anwar ketika hadir pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar Kementerian Dalam Negeri (KDN) Madani di Sungai Petani pada Jumaat.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Jabatan Kastam Diraja Malaysia menyediakan laporan penuh berhubung kes rampasan heroin bernilai RM789.56 juta oleh pihak berkuasa Australia dalam sebuah kontena penghantaran dari Malaysia ke Brisbane, 13 Mac lalu.

Dakwanya, sesuatu yang memalukan jika perkara itu benar dan dadah terbabit dari Pelabuhan Klang.

“Bagaimana ia (dadah) berlalu tanpa dikesan (oleh pihak berkuasa pelabuhan). Bagaimana penyeludupan sama berlaku selama 12, 16 kali tidak dapat dikesan sehingga ia dibongkar oleh pihak berkuasa Australia?,” tegasnya.

Beliau ditemui dalam Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar Kementerian Dalam Negeri (KDN) Madani di sini pada Jumaat.

Anwar berkata, telah meminta Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial polis untuk membantu siasatan.

“Saya berharap laporan itu akan siap dalam masa satu atau dua minggu. Kita perlu tahu apa yang sebenarnya berlaku.

"Kita tidak boleh berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan pengesahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung rampasan dadah seberat anggaran 336 kilogram oleh pihak berkuasa Australia dalam sebuah kontena penghantaran dari Malaysia ke Brisbane pada 13 Mac lalu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman sedang menjalankan siasatan berpandukan maklumat yang diterima daripada pihak Polis Persekutuan Australia (AFP) sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!