Taiwan siap siaga hadapi ancaman China
TAICHUNG - Bandar Taichung gamat dengan senario kecemasan selepas Taiwan mengadakan latihan persediaan bencana setelah latihan ketenteraan dilancarkan China di sekitar negara pulau itu tamat tiga hari lebih awal daripada yang dijadualkan.
Lebih 1,000 sukarelawan terlibat latihan tersebut pada Khamis selepas Taipei kini berada dalam keadaan berjaga-jaga dan bersiap siaga terhadap sebarang ancaman dari Beijing.
“Saya bangga menjadi rakyat negara ini. Kami perlu belajar untuk mencegah peperangan dan bencana. Latihan seperti ini sebenarnya dapat membantu kami ketika waktu terdesak,” kata penjawat awam, Chang Wei-chen, 40.
“Latihan olok-olok ini mengajar kami untuk bekerjasama dengan lebih baik bersama agensi kerajaan dan komuniti, di samping meningkatkan semangat berpasukan,” ujar sukarelawan, Cheng Ho-chen, 55.
Sementara itu, Datuk Bandar Taichung, Lu Shiow-yen memaklumkan, komuniti antarabangsa kini sedang mengikuti perkembangan di Selat Taiwan sejak beberapa hari lalu.
“Kami mahu menunjukkan kepada dunia bahawa kami bertekad untuk melindungi tanah air ini daripada sebarang bentuk pencerobohan,” tegasnya.
Difahamkan, latihan tersebut biasanya memfokuskan kepada bencana, bagaimanapun senario berdepan peperangan telah menjadi fokus utama latihan berkenaan yang turut melibatkan pasukan bomba, anggota tentera dan orang awam.
Latihan pertama daripada 11 siri yang akan diadakan sehingga Julai depan merupakan sebahagian langkah memperhebatkan kesiapsiagaan selepas tindakan provokasi China mengadakan dua pusingan latihan ketenteraan sejak tahun lalu. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!