Tiada Rumah Terbuka Aidilfitri di Kompleks Seri Perdana
SUNGAI PETANI - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan tiada penganjuran Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya tahun ini.
Anwar menjelaskan sebaliknya beliau akan turun menghadiri rumah terbuka yang dianjurkan di negeri-negeri.
"Perdana Menteri tidak akan adakan Majlis Aidilfitri di Seri Perdana tetapi kita akan turun ke bawah iaitu dari negeri ke negeri sama ada anjuran kerajaan Persekutuan atau negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar Kementerian Dalam Negeri (KDN) Madani di Sekolah Latihan Asas Kepolisan, di sini, pada Jumaat.
Jelasnya, Rumah Terbuka Aidilfitri pertama yang akan dihadirinya adalah di Alor Setar, Kedah pada 29 April depan.
"Minat di Alor Setar kerana saya diberitahu makanan di sana jauh lebih lazat dari tempat lain," jelasnya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, nama calon untuk mengisi kekosongan jawatan Ketua Audit Negara telah dihantar dua minggu lalu.
Menurutnya, perkara itu akan melalui beberapa prosedur sebelum nama calon itu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Semua urusan sudah diselesaikan, saya menghantar cadangan nama tersebut dua minggu lalu,” katanya ringkas.
Sementara itu, dalam majlis iftar berkenaan, Anwar turut melaksanakan penukaran al-Quran yang dikenal pasti tiada perakuan KDN kepada al-Quran baharu yang diperakui KDN selain menyampaikan sumbangan kepada penerima terpilih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!