Aidilfitri: 80 peratus tiket penerbangan tambang murah terjual
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, sehingga semalam syarikat berkenaan telah menjual kira-kira 82 peratus daripada 11,400 tempat duduk tambahan bagi tempoh 19 hingga 22 April ini.
Beliau berkata, antara destinasi mendapat permintaan paling tinggi ialah Kuala Lumpur-Tawau, Johor Bahru-Kuching, Johor Bahru-Sibu dan Kuala Lumpur-Kuching.
"Bagaimanapun, masih ada tempat duduk yang tersedia pada tambang rendah tetap yang juga pantas dijual seperti Kota Kinabalu ke Johor Bahru; Johor Bahru ke Kota Kinabalu; Bintulu ke Kuala Lumpur; Kuching ke Johor Bahru; Miri ke Johor Bahru; Sibu ke Johor Bahru dan Kuala Lumpur; dan Tawau ke Kuala Lumpur bagi tempoh sama,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.
Pada masa yang sama, Riad berkata, tempat duduk bagi penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap untuk 28 April hingga 1 Mei juga masih tersedia,
Pada 7 Mac lepas syarikat itu telah melancarkan 124 penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap untuk musim perayaan Aidilfitri ini antara 19 April dan 1 Mei.
Sementara itu, syarikat penerbangan tambang murah terbaharu MYAirline Sdn Bhd turut menerima maklum balas positif apabila 85 hingga 90 peratus tiket ke seluruh destinasi telah terjual sempena musim perayaan ini.
Ketua Pegawai Ekskutifnya, Rayner Teo berkata, Kota Bharu, Tawau dan Kota Kinabalu menerima permintaan paling tinggi setakat ini.
"Buat masa ini masih terdapat kekosongan tempat duduk, tetapi ia terjual dengan cepat. Kami juga akan menambah dua penerbangan tambahan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu dari 19 hingga 21 April.
"Kami sudah pun menambah penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tawau daripada sekali sehari kepada dua kali sehari susulan permintaan yang tinggi," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!