Penarafan Moody's cermin daya tahan negara - MOF
KERAJAAN menyambut baik pengekalan penarafan Moody’s Investors Service (Moody’s) bagi penarafan kredit berdaulat Malaysia pada A3 dengan prospek stabil.
Dalam kenyataan pada Jumaat, Kementerian Kewangan (MOF) menjelaskan pengekalan penarafan ini mencerminkan keazaman negara untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dan daya tahan walaupun berhadapan dengan persekitaran global yang mencabar dan tidak menentu.
"Selari dengan visi Malaysia MADANI, kerajaan komited memacu pertumbuhan inklusif dan mampan, mengembalikan keyakinan terhadap institusi awam dan tata kelola serta mempertahankan keadilan sosial untuk semua rakyat Malaysia.
"Kerajaan akan terus berusaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi dan menarik lebih banyak pelaburan di samping memberi fokus kepada inisiatif mengawal tekanan inflasi dan mengurangkan beban hidup rakyat,” tambah MOF.
Menurut kementerian itu, kerajaan juga komited untuk melaksanakan pembaharuan fiskal dan mengawal paras hutang bagi memastikan struktur ekonomi yang kukuh serta rangka kerja institusi yang berwibawa dalam menguruskan kewangan awam.
Menurut kenyataan MOF, Moody’s menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar Malaysia menyederhana kepada 4.5 peratus pada 2023 berikutan situasi ekonomi global yang menyederhana seterusnya mempengaruhi permintaan luar terhadap produk pembuatan walaupun terdapat peningkatan eksport komoditi, pemulihan dalam sektor pelancongan dan pengukuhan dalam pasaran buruh.
Dalam jangka masa sederhana, Moody’s mengunjurkan pertumbuhan KDNK benar Malaysia pada sekitar 5.0 peratus menjelang 2025, menghampiri potensi pertumbuhan output, disokong oleh demografi yang lebih baik berbanding negara berpenarafan setara A, tahap pelaburan yang kukuh serta permintaan yang lebih tinggi dari negara maju, jelas kenyataan itu.
MOF memaklumkan, Moody’s menjangkakan prestasi dan daya tahan ekonomi Malaysia bertambah baik disokong oleh pelbagai pemacu pertumbuhan dan penyertaan Malaysia dalam rantaian nilai global, termasuk kemasukan pelaburan asing yang lebih kukuh dalam industri bernilai tinggi.
Moody’s juga menyatakan bahawa pertumbuhan jangka sederhana akan terus disokong oleh integrasi negara ke dalam rantaian bekalan serantau dan global serta daya saing ekonomi yang lebih tinggi yang mampu menyumbang kepada lebihan dagangan luar yang besar.
Di samping itu, Moody’s juga menyatakan faktor lain yang mempengaruhi pertumbuhan termasuk kelebihan Malaysia berbanding pasaran serantau yang sedang pesat membangun dari segi kualiti infrastruktur, pendidikan tinggi dan latihan, kecekapan pasaran buruh dan produk serta penggunaan teknologi, menurut kenyataan MOF.
Moody’s turut menyatakan Malaysia terus menunjukkan tahap kompleksiti ekonomi yang tinggi, mencerminkan intensiti pengetahuan mengenai eksport barangan utama seperti produk elektrik dan elektronik.
Menurut MOF, Moody’s turut mengiktiraf keupayaan institusi Malaysia dalam menangani pelbagai cabaran menerusi pelaksanaan polisi monetari dan makroekonomi yang berkesan serta daya tahan sistem perbankan hasil langkah pengawalseliaan ketat oleh bank pusat.
Moody’s juga mengambil kira penambahbaikan ketelusan dalam pelaporan liabiliti luar jangka dan penerbitan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana yang mempamerkan keberkesanan dasar fiskal Malaysia.
Moody’s menjangkakan usaha Malaysia untuk melaksanakan pembaharuan tadbir urus termasuk Akta Tanggungjawab Fiskal untuk meningkatkan akauntabiliti fiskal dan Akta Perolehan Kerajaan akan mampu menangani isu pembaziran dan rasuah.
Pada pandangan Moody’s, pembaharuan ini memberi makna yang jelas dalam usaha Kerajaan untuk melaksanakan konsolidasi fiskal dan kestabilan hutang, menurut MOF.
Kementerian itu memaklumkan Moody's juga menjangkakan defisit fiskal akan berkurang kepada 5.0 peratus daripada KDNK pada 2023 dengan trajektori konsolidasi fiskal yang lebih perlahan pada 2024 dan 2025 selaras dengan unjuran rasmi iaitu 3.6 peratus pada 2025, berikutan asas hasil yang terhad dan komitmen perbelanjaan yang tinggi.
Moody’s juga menjangkakan beban hutang kerajaan akan berkurang kepada 61 peratus daripada KDNK pada 2024 dan menekankan bahawa terdapat risiko yang rendah daripada liabiliti luar jangka.
Oleh yang demikian, Moody’s menyatakan bahawa pasaran modal domestik yang mendalam telah menyeimbangkan kelemahan kedudukan fiskal semasa, manakala kadar faedah dan keluk kadar hasil Kerajaan telah kembali normal kepada paras prapandemik dan kekal stabil, tambah MOF.
MOF menambah walau bagaimanapun, Moody’s juga berpandangan pembaharuan diperlukan bagi memperluas asas hasil memandangkan asas hasil negara adalah antara yang terendah berbanding negara berpenarafan setara A; dan komitmen perbelanjaan Kerajaan yang tinggi meliputi kemampanan pencen, bayaran khidmat hutang dan subsidi.
Malah, paras hutang dan liabiliti luar jangka semasa memberi risiko ke atas kemampuan keberhutangan kerajaan, tambah kementerian itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!