JDT mara suku akhir Piala FA

Bergson menyempurnakan sepakan penalti. - Foto: JDT
Bergson menyempurnakan sepakan penalti. - Foto: JDT
A
A
A

SKUAD Johor Darul Ta'zim menepati ramalan apabila mara ke saingan suku akhir Piala FA 2023 apabila menewaskan PDRM FC, 3-0, di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat.

JDT tidak perlu menunggu lama untuk membuka jaringan apabila Bergson Da Silva mudah menanduk masuk hantaran cantik, pemain sayap, Arif Aiman Hanapi pada minit ke-3.

Skuad Harimau Selatan itu hampir menggandakan jaringan pada minit ke-6, namun rembatan pemain import, Juan Muniz dari luar kotak penalti tinggi melepasi palang gol.

Hasil satu serangan balas, PDRM FC dilihat hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-9, namun tandukan pertahanan import James Okwuosa berjaya ditampan penjaga gol, Farizal Marlias, sebelum dikeluarkan benteng pertahanan skuad Harimau Selatan itu.

JDT kemudiannya meledak gol kedua apabila Bergson menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-12.

Mendahului 2-0 menyaksikan skuad Harimau Selatan itu semakin hebat mengasak ke gawang pelawat dalam usaha menambah jaringan.

Asakan-asakan berkenaan akhirnya membuahkan hasil apabila tonggak import, Leandro Velazquez menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-27, untuk gol ketiga tuan rumah.

Penghujung babak pertama menyaksikan JDT mula mengendurkan asakan tiada sebarang tambahan jaringan dilakukan hingga tamat separuh masa pertama.

Babak kedua menyaksikan JDT semakin menggandakan asakan dalam usaha menambah jaringan.

Bergson berpeluang mencatat hattrik dengan menjaringkan gol ke empat JDT pada minit ke-62, namun tandukan hanya sedikit tersasar biarpun penjaga gol PDRM FC, Muhamad Aqil Abdul Razak, sudah pun tertewas.

Bergson sekali lagi hampir menjaringkan gol pada minit-79, namun tandukanya gagal menepati sasaran.

Minit-minit akhir perlawanan menyaksikan JDT semakin hebat mengasak gawang PDRM FC bagi menambah jaringan.

Namun, kedudukan 3-0, kekal hingga ke wisel penamat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!