Tetamu bukan Islam teruja sertai iftar ala Madinah
SHAH ALAM - Bukan sekadar majlis berbuka puasa biasa, program Iftar ala Madinah @Karangkraf dilihat berupaya menjadi platform penyatuan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Program yang berlangsung selama satu bulan sempena Ramadan itu bukan hanya disertai oleh umat Islam, malah turut menarik perhatian penganut agama lain untuk sama-sama meraikannya.
Seorang pengunjung yang datang dari Selayang, Selangor, Jenny Low, 21, berkata, ini adalah kali pertama dia menyertai program berbuka puasa yang menghimpunkan ratusan rakyat Malaysia.
Pekerja swasta itu memberitahu, dia amat kagum melihat suasana orang ramai duduk bersila bersama-sama sambil menikmati juadah disediakan pihak penganjur.
“Saya tidak pernah berkunjung ke mana-mana majlis iftar selama ini. Ia adalah pengalaman pertama saya makan sekali dengan orang ramai.
“Kepelbagaian makanan yang disediakan juga menyebabkan masyarakat tertarik untuk menyertai program ini.
“Saya melihat kemeriahan yang wujud ini adalah satu keunikan yang harus diraikan secara bersama,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Jenny turut berharap agar program berkenaan akan menjadi satu tradisi yang dapat diteruskan untuk masa akan datang.
“Penganjur bukan sahaja melakukan kebaikan dengan menyediakan makanan secara percuma kepada orang ramai, tetapi ia juga mampu bertindak sebagai platform perpaduan semua kaum di Malaysia.
“Saya juga berhasrat untuk mengajak lebih ramai rakan bukan beragama Islam bersama-sama memeriahkan iftar di sini.
“Ramai antara mereka yang tidak pernah merasai suasana berbuka puasa beramai-ramai mungkin kerana tidak didedahkan dengan budaya seperti ini,” ujarnya.
Sementara itu, Adeline Lau pula berkata, dia mempunyai ramai rakan yang beragama Islam dan hal ini membuatkan dirinya terpanggil untuk merasai pengalaman berpuasa di bulan Ramadan.
Bagaimanapun, wanita berusia 38 tahun yang merupakan pengurus di sebuah syarikat komunikasi di ibu kota itu memberitahu, dia hanya mampu menahan lapar selama setengah hari sahaja.
“Saya pernah cuba untuk berpuasa, tetapi hanya untuk setengah hari. Agak sukar kerana mungkin saya tidak biasa (berpuasa), terutamanya apabila kita perlu menahan diri daripada minum.
“Tetapi sebenarnya pengalaman itu juga membuatkan kita lebih menghargai makanan dan menanam sifat simpati apabila mengenangkan kesusahan hidup orang lain.
“Kita boleh rasai macam mana perasaan orang di luar sana yang kurang berkemampuan dan nak cari makan pun susah. Jadi kita akan lebih menghargai nikmat dan kesenangan yang dikecapi selama ini,” kongsinya.
Dalam pada itu, pelajar daripada Politeknik Banting, Thanus Mogan, 19, turut menyatakan keterujaannya apabila dia dan hampir 30 rakan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menerima jemputan untuk menyertai program itu.
“Ini adalah kali pertama saya menghadiri majlis buka puasa di mana kita makan sambil duduk bersila beramai-ramai di kawasan terbuka.
“Ini adalah kesempatan yang baik untuk kita mengeratkan hubungan sesama rakyat Malaysia dan saya sangat gembira dengan pengalaman bermakna yang sukar diperolehi di tempat lain,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!