Himpun pelbagai industri dalam satu karnival
SHAH ALAM - Pelbagai pempamer daripada industri pembuatan seperti makanan dan minuman, pen-didikan, produk kesihatan, perbankan serta pengkomputeran atau teknologi akan terlibat sepanjang Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang bakal berlangsung pada awal Mei ini.
Menurut Pengurus Besar, Jualan Iklan Sinar Harian, Airol Fadley Limin, pempamer yang terlibat akan menyediakan pengisian dan aktiviti berbentuk pendidikan fizikal serta pendidikan digital kepada pengunjung.
Selain itu, katanya, mereka turut mengetengahkan produk masing-masing dengan penawaran harga lebih rendah berbanding di pasaran luar dan harga itu adalah eksklusif sempena karnival kali ini.
Jelas Airol Fadley, setakat ini sebanyak 15 reruai berjaya terjual kepada pempamer dan jualan reruai masih lagi dibuka sehingga 28 April ini kepada industri yang berminat.
“Karnival Pendidikan Sinar Bestari dijangka menerima kunjungan 5,000 pengunjung setiap hari dan bilangan ini sememangnya cukup tinggi untuk sesebuah penganjuran karnival pendidikan.
“Ini bermakna ia satu peluang kepada pelbagai industri di luar sana untuk turut serta dengan kami dengan membeli reruai pada harga pakej yang telah ditetapkan.
“Inilah masanya untuk industri mempromosi kelebihan produk kepada pengunjung, mendekati kehendak masyarakat tentang produk diinginkan, mengumpul data dan sebagainya,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Airol Fadley berkata, pihaknya mengalu-alukan industri pendidikan dari institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, industri peruncitan, industri automotif, industri robotik serta banyak lagi untuk melibatkan diri dalam karnival tersebut.
“Penglibatan industri besar seperti ini membantu pengunjung terutama dalam kalangan pelajar mendapatkan pelbagai informasi berkaitan bidang mereka.
“Pada masa sama, mereka juga dapat menimba pengetahuan mengenai kelebihan dan keistimewaan setiap industri,” katanya.
Kepada yang berminat untuk membeli reruai pada Karnival Pendidikan Sinar Bestari, mereka boleh menghubungi Airol Fadley di talian 019-229 7270 dan Mohd Ariff Mohd Hashim (012-627 6411).
Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang mengetengahkan konsep memacu pendidikan generasi digital akan berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 Mei ini di Dataran Karangkraf, Seksyen 15 di sini.
Pelbagai pengisian menarik dan bermanfaat disediakan kepada pengunjung termasuk pameran bertemakan digital, skil dan kerjaya yang menjadi evolusi pendidikan masa depan.
Nama-nama besar seperti Pusat Sains Negara, agensi pencarian terkemuka, Google dan Microsoft Corporation (Microsoft) juga akan turut serta pada karnival tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!