MOSTI sedia bantu paten inovasi dihasilkan sekolah
IPOH - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedia membantu mendaftarkan harta intelek (IP) bagi mana-mana inovasi yang berpotensi untuk dikomersialkan termasuk dihasilkan oleh pelajar sekolah.
Menterinya, Chang Lih Kang berkata, terdapat banyak idea dan inovasi menarik dihasilkan oleh remaja yang berpotensi untuk dipatenkan menerusi pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) di sekolah.
Menurut beliau, pihak MOSTI sangat mengalu-alukan penghasilan pelbagai inovasi dalam usaha mencapai hala tuju negara dalam bidang sains dan inovasi untuk menjadi negara pengeluar teknologi selain pengguna teknologi menjelang tahun 2030.
"Ada beberapa peringkat dimulai peringkat idea dan apabila matang sikit, ada prototaip dan sekiranya ada idea yang boleh dikomersialkan memang ada kemungkinan MOSTI akan membantu untuk daftar IP.
"Memang itu antara usaha MOSTI untuk membudayakan sains dan kami akan memberikan galakan sebanyak mungkin inovator-inovator yang mengambil program flagship kita," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Insentif Galakan MOSTI kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Teja di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Jumaat.
Hadir sama pada majlis itu, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Sandrea Ng Shy Ching; Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing dan Pengetua SMK Seri Teja, Khairulniza Khairuddin.
Sementara itu, Lih Kang berkata, MOSTI amat berbangga dengan kejayaan SMK Seri Teja yang berjaya memenangi pingat emas di dalam Pameran Sains Antarabangsa Belia di Bali, Indonesia baru-baru ini melibatkan penghasilan pot semaian mesra alam dipanggil Savase.
Menurutnya, kejayaan tersebut merupakan pencapaian terbesar di peringkat antarabangsa bagi sekolah berkenaan sekaligus berjaya mengharumkan nama negara.
"Ini adalah satu pencapaian yang cukup menggalakkan bagi MOSTI sebab usaha SMK Seri Teja ini dalam bidang sains, teknologi dan inovasi memang selaras dengan hala tuju negara kita di mana kita memang berhasrat supaya negara kita akan menjadi pengeluar teknologi selain daripada pengguna teknologi menjelang tahun 2030.
"Saya yakin sekiranya semua sekolah mengambil pendekatan seperti SMK Seri Teja, sasaran ini kita boleh dicapai sebelum tahun 2030. Saya minta sekolah lain bolehlah mengambil pendekatan seperti SMK Seri Teja memberikan tumpuan yang cukup besar kepada pendidikan STEM," katanya.
Beliau dalam pada itu turut mempelawa SMK Seri Teja menyertai program atau pertandingan sempena Minggu Sains Negara dan Techlympic yang berlangsung tidak lama lagi menawarkan hadiah lebih lumayan.
Pada majlis berkenaan Lih Kang menyampaikan insentif galakan sebanyak RM5,000 kepada sekolah berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!