Polis tersilap namakan suspek serangan di Sri Lanka
COLOMBO - SRI LANKA. Polis Sri Lanka berdepan kesilapan memalukan selepas mereka tersalah menamakan aktivis Islam Amerika sebagai suspek siri serangan pengeboman menyasarkan gereja dan hotel di negara itu pada Ahad lalu.
Semalam, polis mengeluarkan risalah tertera gambar dan nama enam individu termasuk tiga wanita yang dikehendaki berkaitan serangan ganas tersebut.
Antara nama dalam senarai itu adalah Abdul Cader Fathima Khadhiya yang kini diburu pihak berkuasa.
Tetapi, gambar yang merujuk kepada Khadhiya itu sebenarnya adalah Amara Majeed, anak kepada imigran Sri Lanka yang pernah bertindak berani menghantar surat terbuka kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump tentang retorik beliau terhadap orang Islam pada 2015.
"Hai semua! Pagi ini, kerajaan Sri Lanka telah tersilap mengenal pasti saya sebagai salah seorang penyerang di negara itu.
Ia adalah tuduhan palsu memandangkan komuniti Islam telah berdepan banyak isu pengawasan.
Saya tidak perlukan lagi tuduhan palsu dan pengawasan seperti ini," kata Majeed menerusi akaun Facebook miliknya.
Susulan itu, polis Sri Lanka segera memohon maaf dan memperbetulkan kenyataan mereka dengan menyatakan Majeed bukan suspek, namun mereka masih memburu Abdul Cader Fathima Khadhiya untuk disoal siasat. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!