PRN jadi 'ujian litmus' buat gabungan BN, PH - Asyraf Wajdi
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] UMNO melihat Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri menjadi 'ujian litmus' sulung buat Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerjasama di peringkat persekutuan menerusi Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya berpandangan PRN itu akan dijadikan sebagai medan memperkasakan lagi Kerajaan Perpaduan.
"Selepas enam bulan dibentuk, Kerajaan Perpaduan perlu lebih stabil. Hal ini kerana bagi membolehkan rakyat mendapat manfaat dari segi ekonomi, pembangunan sosial dan sebagainya," katanya semasa sidang akhbar di sini pada Jumaat.
Sebelum itu beliau meraikan pengamal media pada Majlis Make Colek Bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi).
Menurut beliau, disebabkan perbalahan politik lebih empat tahun lalu Malaysia sudah jauh ketinggalan berbanding dengan negara jiran.
Ujarnya, pada masa sama PRN tidak boleh dijadikan sebagai pengukur formula Kerajaan Perpaduan kerana bukan kesemua perkara boleh diselesai dalam tempoh empat hingga enam bulan.
Dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi memberitahu, hubungan antara parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan sangat baik ketika ini.
Tambah beliau, hubungan baik itu terjalin menerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan antara BN dan PH.
"BN diwakili oleh Datuk Zambery Abdul Kadir (Setiausaha Agung BN) makakala PH oleh Setiuasaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!