Operasi SAR ditangguhkan, cuaca gelap
SIMPANG RENGGAM - [DIKEMASKINI] Operasi Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bagi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pelajar tahfiz yang dikhuatiri lemas di Sungai Kampung Sahari, di sini, terpaksa ditangguhkan sementara pada jam 5.25 petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Asyraf Nur Mohd Yusof berkata, operasi PPDA juga akan disambung semula pada esok pagi kira-kira pada jam 6.30 pagi.
"Pada hari ini, operasi PPDA telah dimulakan seawal jam 11 pagi selepas kita menjumpai mangsa pertama pada jam 5.20 pagi bermula dari tempat asal mangsa hanyut sehingga ke tempat pemeriksaan terakhir (check point) kita pada petang ini.
"Kita juga telah menurunkan seramai 11 anggota PPDA iaitu terdiri dari enam anggota dari BBP Kluang serta lima dari BBP Tebrau dan kaedah yang dilakukan adalah pencarian di permukaan air (water surface searching)," katanya kepada Sinar Harian, petang tadi.
Menurutnya, disebabkan keadaan cuaca yang semakin gelap, beliau juga telah mengarahkan semua anggota PPDA untuk menangguhkan sementara operasi pada petang ini.
Bagaimanapun, pada malam ini akan ada anggota SAR yang akan memantau keadaan pintu air di Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam bagi mengelakkan mangsa melepasi kawasan pencarian.
"Jadi, bagi mengelakkan perkara tersebut berlaku, kita mungkin akan memasang jaring di pintu air ini dan sekiranya ada objek atau mangsa melepasi pintu air ini, ianya akan tersangkut pada jaring ini.
"Kawasan pencarian juga masih sama dan kita juga tidak ada keperluan untuk menambah anggota SAR kerana jarak pencarian masih mencukupi dengan jumlah anggota yang kita ada sekarang ini," katanya.
Dalam kejadian kira-kira 6.16 petang semalam, dua pelajar Sekolah Islam As Syiddiq di Kampung Sahari, di sini, yang sedang mandi sungai bersama enam lagi rakannya dihanyutkan air deras.
Mangsa pertama, Muhammad Ammar Mazeni, 13, dijumpai pada jam 5.20 pagi kira-kira dua kilometer dari kawasan mangsa dipercayai lemas manakala seorang lagi mangsa, Mohd Danish Mirza Mohd Said, 16, masih belum ditemui sehingga jam 6 petang ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!