Wanita menangis atas jambatan Putrajaya kerana tertekan - Polis
PUTRAJAYA - Keberadaan seorang wanita di atas Jambatan Wawasan Presint 2 di sini semalam (14 April) bukan berniat untuk membunuh diri sebaliknya untuk menenangkan perasaan, kata Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz.
Beliau berkata, siasatan polis mendapati wanita yang berumur 30-an itu tertekan kerana keputusan mahkamah ke atas satu tuntutan sivil tidak berpihak kepadanya dan beliau dikehendaki sejumlah wang atas keputusan tersebut.
Katanya, wanita tersebut telah pergi ke jambatan berkenaan lebih kurang 11 pagi semalam dan orang awam yang melalui jambatan tersebut melihat mangsa dalam keadaan menangis dan berjaya memujuknya.
"Pihak polis mendapat makluman daripada panggilan MERS 999 dan telah membawa wanita tersebut ke Balai Polis Presint 7 untuk siasatan lanjut.
"Pihak keluarga mangsa telah dipanggil untuk membantu siasatan dan kemudian dirujuk ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan itu, beliau berkata, orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu dan menghubungi pihak berwajib sekiranya mempunyai sebarang masalah serta tidak mengambil tindakan secara melulu.
Terdahulu, tular sebuah video TikTok yang menunjukkan wanita tersebut sedang menangis dan berada dalam keadaan mencurigakan di atas jambatan namun ketika ini, video tersebut telah dipadamkan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!