‘Saya tiada kaitan dengan Datuk Arshad’- Saifuddin

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

SHAH ALAM- Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menafikan ada kaitan dengan seorang individu bernama Roslizal Razali yang kini dalam tahanan polis.

Ia susulan dakwaan yang kini berlegar di media sosial mengaitkannya dengan Roslizal yang disiasat polis di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi & Multimedia 1998.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan memberi sokongan kewangan kepada individu-individu yang bernama Roslizal Razali atau Datuk Arshad tersebut.

“Saya tidak ada apa-apa kaitan dengan apa yang dilaporkan telah dilakukan oleh mereka berdua.

“Peguam juga telah menasihati saya untuk membuat laporan polis dan tindakan undang-undang akan diambil ke atas individu yang menyebar fitnah serta fakta tidak sahih berkenaan isu ini, yang bertujuan menjejaskan reputasi saya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Roslizal yang berusia 46 tahun itu telah ditahan pada Rabu lalu kerana disyaki memuat naik ciapan di media sosial berunsur perkauman yang boleh menimbulkan isu ketenteraman awam.

Bagaimanapun, ketika permohonan reman, pengawal keselamatan itu dikatakan memaklumkan menyewa sebuah soho di KLCC.

Namun, timbul dakwaan yang mengatakan polis mempersoalkan Roslizal mampu menyewa di situ dan dikatakan ada menyebut tentang mendapat 'sokongan kewangan' daripada Datuk Arshad yang bekerja untuk Saifuddin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!