Arsenal waspada sebarang kemungkinan
PENGURUS Arsenal, Mikel Arteta belum mahu berasa selesa dengan peluang besar untuk meraih gelaran pertama sejak 2004 ketika saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) hampir menuju ke garisan penamat.
Ini kerana kata Arteta sebarang kemungkinan boleh berlaku dan dia mahu skuad The Gunners fokus untuk memburu kemenangan dalam setiap perlawanan yang bakal diharungi selepas ini.
“Kami memikirkan setiap kemungkinan.
“Kami mahu menang perlawanan terlebih dulu dengan menghasilkan sebanyak mungkin gol, tetapi kami harus bersikap terbuka dengan sebarang kemungkinan,” katanya.
Selain itu, Arteta juga tidak menolak The Gunners memerlukan 'tuah pada detik yang tepat' untuk mengatasi pencabar terdekat, Manchester City untuk bergelar juara.
City yang dikendali Pep Guardiola dijadualkan menanti kunjungan Leicester City dan mampu merapatkan jurang dengan Arsenal kepada tiga mata sebelum Gunners meneruskan saingan bertemu West Ham pada Ahad.
“Kamu perlu tuah pada saat yang tepat,” kata Arteta.
Arsenal mensia-siakan kelebihan 2-0 ke atas Liverpool di Anfield minggu lalu sebelum menamatkan perlawanan 2-2 sekali gus menjadikan City kembali menjadi tumpuan mengekalkan gelaran buat kali kelima dalam tempoh enam tahun.
The Gunners boleh memberi fokus memburu gelaran pertama EPL sejak 19 tahun, ketika City bakal beraksi di separuh akhir Piala FA menentang Sheffield United minggu depan selain hanya selangkah lagi untuk berada dalam kelompok empat terbaik Liga Juara-Juara.
Arsenal dan City bakal membuat perhitungan di Stadium Etihad pada 26 April ini yang menjadi detik penting perebutan gelaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!